Fadhlina (tengah) menyampaikan Anugerah Kanak-Kanak Cemerlang Tabika Kemas Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Hotel Raia, Bayan Lepas hari ini.

BAYAN LEPAS –  Kementerian Pendidikan (KPM) melakukan peluasan prasekolah setiap tahun bagi memastikan kanak-kanak mendapat pendidikan percuma serta menangani isu keciciran murid lebih awal.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, peluasan prasekolah KPM dilakukan saban tahun bagi memastikan enrolmen mencapai sehingga 90 peratus di seluruh negara.

Jelas beliau, pendidikan pra sekolah juga penting dalam mengesan isu berkaitan perkembangan kanak-kanak seperti masalah nutrisi serta keperluan khas sebelum mereka melangkah ke alam persekolahan.

Fadhlina Sidek.

“Peluasan prasekolah KPM berlangsung setiap tahun susulan permintaannya terlalu tinggi dan kita mahu pastikan bahawa pendidikan percuma di peringkat prasekolah.

“Selain itu, isu-isu berkaitan dengan malnutrisi, intervensi murid keperluan khas juga kita dapat buat daripada peringkat awal.

“Pastinya yang terkait rapat dengan naratif keciciran sebab enrolmen di peringkat prasekolah ini kita perlu buat lonjakan lagi untuk memastikan mereka masuk ke sekolah di peringkat awal,” katanya selepas menghadiri majlis apresiasi Tabika Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) Daerah Barat Daya dan Timur Laut di Hotel Raia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut Fadhlina memaklumkan, setakat ini terdapat 9,909 buah kelas prasekolah di seluruh negara yang membabitkan peluasan sebanyak 129 kelas tahun ini berbanding 119 tahun 2023.

“Pada sesi persekolahan 2023/2024 terdapat lebih 200,000 murid prasekolah.

“Malah, KPM turut menyediakan inisiatif bantuan makanan prasekolah untuk semua murid bagi membantu mengatasi isu malnutrisi serta kemiskinan multidimensi,” katanya.

Media semalam melaporkan Kementerian Pendidikan (KPM) telah mewujudkan pasukan khas (task force) bagi menyelaraskan semula sistem pendidikan pra sekolah di bawah kementerian itu.

Fadhlina berkata, gerakan itu perlu disegerakan seiring dengan agenda reformasi pendidikan untuk memastikan kurikulum dan isu-isu berkaitan prasekolah termasuk silibus pembelajaran diselaraskan.

Pada 22 Januari lalu, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa KPM melihat semula pelaksanaan sistem prasekolah di negara ini bagi memastikan pendidikan prasekolah tidak melebar jurangnya antara kawasan pedalaman, desa dan kota. – MalaysiaGazette