Lilis Saslinda Pornomo (Tengah) melihat sayuran yang dijual sempena Jualan Rahmah Tahun Baharu Cina di Block 56 flat Taman Ungku Tun Aminah, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memperuntukan kira-kira RM8.7 juta pemberian subsidi menerusi Jualan Rahmah pada tahun ini.

Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, pihaknya menyasarkan lebih 600 Jualan Rahmah dilaksanakan di 26 kawasan Parlimen di negeri ini.

Jualan itu tidak termasuk Jualan Rahmah istimewa yang diadakan sempena musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina  yang dijalankan ketika ini di tiga lokasi terpilih.

“Bulan lalu sahaja pihak kami telah mengadakan 26 Jualan Rahmah bergerak di 26 lokasi yang memberikan potongan harga kepada barangan makanan dan keperluan terpilih.

“Untuk itu pada bulan ini pihak kami berhasrat menggandakan penganjuran program tersebut kepada 52 di 26 lokasi terpilih dalam memberi manfaat kepada penduduk setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian program Jualan Rahmah Tahun Baru Cina di Flat Taman Ungku Tun Aminah, hari ini.

Sempena sambutan Tahun Baharu Cina, KPDN Johor mengadakan Jualan Rahmah secara outdoor di Muar, Flat Taman Ungku Tun Aminah dan di Chamek, Kluang (esok) dan lokasi yang mempunyai ramai komuniti Cina.

Selain itu pihaknya juga akan mengadakan Jualan Rahmah istimewa sempena musim perayaan lain seperti perayaan Hari Raya Aidilfitri, Deepali dan Hari Natal.

“Setiap penganjuran program bersempena musim perayaan itu, pihak kami  memperuntukan pemberian subsidi lebih RM100,000 bagi setiap program berkenaan.

“Sekiranya Kita memperoleh peruntukan termasuk daripada lebihan dan penjimatan yang dilakukan, kita akan mengadakan lebih banyak program Jualan Rahmah secara bergerak.

“Kita akan habiskan peruntukan untuk bagi membolehkan rakyat di negeri dapat menikmati penjimatan yang ditawarkan,” katanya. – MalaysiaGazette