Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tidak melepaskan peluang menimpa pengalaman dalam menyertai pertandingan kereta berhias sempena Malam Karnival Rakyat Pahang 2024 malam tadi

KUANTAN – Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) tidak melepaskan peluang menimpa pengalaman dalam menyertai pertandingan kereta berhias sempena Malam Karnival Rakyat Pahang 2024 malam tadi.

Biarpun tidak memenangi anugerah nampun penglibatan UMPSA sebagai sebuah universiti awam ke-16 yang ditubuhkan kerajaan  di negeri ini menjadi sejarah mengambil bahagian dapat mempromosi universiti awam kepada rakyat di negeri ini.

Naib Canselor UMPSA, Prof Datuk Ts Dr Yuserrie Zainuddin berkata, program itu memberi peluang kepada UMPSA yang menawarkan program pendidikan tinggi berteraskan kejuruteraan dan teknologi serta penyedia  program TVET negara ini mendekati masyarakat setempat seiring dengan penjenamaan UMPSA yang sebelum ini dikenali sebagai UMP.

“Mengangkat tema ‘Pendidikan dan Teknologi Untuk Masyarakat’, UMPSA yang diiktiraf tangga ke-68 terbaik dunia dalam UI Greenmetric World University Rankings.

”Ia memperkenalkan konsep Lestari dengan memberi penekanan terhadap sumber alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Perarakan kereta berhias melibatkan 11 daerah dan sembilan agensi di negeri Pahang serta UMPSA menyaksikan sejauh kira-kira 16 kilometer bermula daripada Serambi Teruntum melalui Jalan Besar-Jalan Kemunting ke Dataran Sayangi Kuantan.

”Reka bentuk kereta berhias ini turut menyampaikan mesej  dengan mengajak orang ramai  mengambil bahagian dalam usaha melindungi Raja Rimba, Harimau Malaya yang merupakan ikon kebanggaan negara.

”Sebagai universiti teknologi semua gambaran ini dipamerkan dalam bentuk visual digital yang lebih menarik di sepanjang perarakan,” katanya.

Turut ditampilkan hiasan pintu masuk Istana Abu Bakar yang merupakan istana rasmi Sultan Pahang yang terletak di bandar diraja Pekan.

Pada acara berkenaan, pelbagai acara lain turut diadakan seperti himpunan pendekar Pahang, persembahan artis dan sukan rakyat.

Malam tadi, Pertandingan kereta berhias sempena Malam Karnival Rakyat Pahang 2024 dimenangi Tourism Malaysia, tempat kedua Majlis Perbandaran Pekan, dan ketiga Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Pahang. – MalaysiaGazette