Wednesday, October 30, 2024
Home Sukan Penyerang Chile senjata baharu Selangor

Penyerang Chile senjata baharu Selangor

Ronnie Fernandez dikatakan menjadi antara pemain termahal Selangor musim ini bernilai RM2.5 juta.

KUALA LUMPUR – Selangor FC serius dalam memperkuatkan pasukan menjelang saingan musim 2024/25 apabila sah mengikat penyerang baru dari Chile, Ronnie Fernandez sebagai pengganti penjaring terbanyak Liga Super musim lalu, Ayron Del Valle.

Kehadiran Fernandez itu sebagai pemain import baharu selepas mengumumkan kemasukan pertahanan kebangsaan Uzbekistan, Umarek Eshmurodov yang baru selesai beraksi dalam Piala Asia di Qatar.

“Ronnie memulakan kariernya di Santiago Wanderers FC sebelum mencipta kejayaan di Arab Saudi bersama Al-Fahya FC, di mana dia menamatkan saingan sebagai penjaring terbanyak Liga Pro Saudi (13 gol) pada musim pertamanya.

“Dia juga pernah bermain untuk Al Nasr di Dubai pada 2018 dan menjaringkan 18 gol daripada 26 perlawanan untuk Bolivar La Paz, membantu mereka memenangi Copa de la División Professional pada 2023.

“Kami tidak sabar untuk bermula dengan anda, Ronnie!” kata Gergasi Merah itu di media sosialnya.

Sebagai rekod, Fernandez pernah mewakili skuad kebangsaan Chile sebanyak tiga kali. – MalaysiaGazette