Ramkarpal Singh
Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh menggesa Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain untuk mengelak daripada memberi komen menyimpulkan Tony Pua bersalah.

Pengerusi Biro Undang-Undang DAP berkata, siasatan terhadap kes Tony mengenai dakwaan menghina institusi diraja berhubung pengampunan ke atas Datuk Seri Najib Abdul Razak masih belum selesai.

“Dalam kenyataannya semalam, KPN menggesa orang ramai supaya tidak membuat spekulasi mengenai kes Tony Pua kerana perkara itu masih dalam siasatan tetapi pada masa yang sama membuat kesimpulan kenyataan Tony Pua itu berbaur hasutan.

“Jika KPN telah membuat kesimpulan semalam bahawa kenyataan Tony Pua bersifat hasutan, mengapa perlu meminta beliau hadir di Bukit Aman hari ini bagi tujuan membantu siasatan?

“Nampaknya KPN telah pun mendapati Tony Pua bersalah tanpa memberinya hak untuk membuat siasatan yang betul dan adil,” dakwanya dalam kenyataan.

Ramkarpal mendakwa, kenyataan daripada pegawai polis tertinggi negara tidak menimbulkan keyakinan terhadap kesaksamaan proses siasatan.

Katanya, Ketua Polis Negara harus menjalankan tugas secara profesional dan tidak dilihat mempengaruhi proses siasatan.

Media sebelum ini melaporkan, Razarudin berkata, polis akan memanggil Tony Pua yang juga bekas Setiausaha Publisiti DAP bagi siasatan terhadap kenyataan yang didakwa menghina institusi diraja berhubung pengampunan ke atas Najib.

“Kenyataan dibuat bersifat menghasut orang ramai supaya membenci dan menghina institusi diraja berkenaan kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam menjalankan bidang kuasanya di bawah Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan.

“Siasatan dijalankan Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam kenyataan semalam.-MalaysiaGazette