Foto Facebook Selangor FC.

KUALA LUMPUR – Selangor FC (SFC) membuat perancangan jangka panjang selepas mendapatkan penjaga gawang, Azim Al Amin Kamaruddin serta empat pemain skuad bawah 23 tahun (B-23) itu dinaik pangkat ke skuad utama bagi persiapan menjelang saingan Liga Malaysia 2024/25.

Pengumuman Azim Al Amin atau lebih mesra dengan panggilan Azim dibuat di Facebook Selangor FC di sini yang merupakan pemain baharu keempat yang ditandatangani skuad kendalian Tan Cheng Hoe.

Azim memulakan karier profesional beliau bersama pasukan KL City sejak 2021 hingga 2023 dan berjaya merebut tempat dalam skuad utama selepas tampil dalam enam perlawanan pada musim lalu.

Nama penjaga gol berusia 23 tahun itu menjadi bualan ramai susulan aksi cemerlang bersama skuad B-23 ketika berdepan skuad B-23 China dalam perlawanan persahabatan, Disember lalu.

Azim juga bakal membarisi skuad Harimau Muda bagi kejohanan Piala Asia B-23 yang akan berlangsung di Doha, Qatar pada April nanti.

Selain Azim, empat muka baharu yang akan bersama skuad utama SFC adalah kapten skuad B-23 SFC musim lalu, Faiz Amer (21 tahun), pemain tengah, Haiqal Haqeemi (21 tahun), pemain pertahanan, Aiman Hakimi (19 tahun) dan pemain termuda B-23 negara, Muhammad Abu Khalil (19 tahun).

Kesemua mereka adalah tonggak skuad B-23 Gergasi Merah yang pernah dipanggil untuk menyertai skuad senior bagi dua siri perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Persiraja dan PSIS Semarang di Indonesia, Ogos lalu. – MalaysiaGazette

Foto Facebook Selangor FC.