Petani mengemudi jentera pemotong padi ketika musim menuai ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Kampung Tanjung Kapur, Jitra, Kedah. Foto WAN NABIL NASIR, 22 SEPTEMBER 2023.

MUAR – Program SMART Sawah berskala besar ala Sekinchan akan diperluaskan di Johor secara berperingkat.

Ia melibatkan 10 sawah padi berkeluasan 2, 254 hektar, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu.

Menurut beliau, langkah itu bagi menambah rizab kawasan penanaman padi dan sekaligus meningkatkan produktiviti pengeluaran negara.

“Ala Sekinchan ini mestilah tanaman yang mengikuti masa yang betul, baja dan pengairan yang sesuai. Kalau tidak ada pengairan yang cukup maka dia tidak boleh untuk kita buat ala Sekinchan dengan sempurna dan daripada segi penjagaan mestilah pesawah padi ini tidak boleh kerja part time. Dia kena jadi pesawah sebagai full time macam profesional.

“Sebab kalau saya melawat di Jepun kadang-kadang di tengah pekan di antara dua supermarket ada sawah di situ mereka usahakan dalam bentuk family dan juga teknologi yang begitu moden dan di Johor ini banyak kalau kita banyak  tanah luas banyak lagi kita boleh buat.

“Barang boleh dicari dan kita harap dengan adanya tempat sebegini dengan permerhatian khusus daripada kerajaan negeri dan persekutuan dan dengan teknologi pembajaan benih saya yakin satu hari akan mencapai tujuh hingga 10 tan per hektar,” katanya pada sidang media semasa mengadakan Lawatan ke Sawah Ring, Tangkak hari ini.

Mohamad yakin, program SMART Sawah ala Sekinchan dapat meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada tujuh tan metrik kepada 10 tan metrik sehektar.

Di Johor, terdapat 859 pesawah yang mengusahakan sepuluh sawah padi di Muar, Tangkak, Batu Pahat, Kluang dan Mersing.

Program SMART SBB Ala Sekinchan merupakan program baharu yang diperkenalkan oleh pihak kementeriannya dengan memfokuskan model dan amalan pertanian baik sebagaimana yang dilaksakan oleh pesawah di Selangor.

Bukan itu sahaja, program itu juga membantu aspek penyelarasan sistem pengurusan ladang secara berkelompok dan lebih efisien.

Malah ia membuka ruang ke arah pembangunan infrastruktur asas seperti sistem saliran air yang sering menjadi kekangan pesawah.- MalaysiaGazette