MUAR – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memberi jaminan bekalan bawang dalam pasaran mencukupi biar pun India melarang pengeksportannya sehingga 31 Mac ini.
Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, larangan eksport bahan asas masakan itu hanya bersifat sementara.
Ketika ini, katanya, bekalan bawang negara diimport dari beberapa negara termasuk China, Thailand dan Pakistan.
“Bawang daripada India memang bersifat sementara macam beras juga hari itu bila kita runding semula dia sanggup menjual 170,000 tan metrik kepada Malaysia dan kadang kala masalah dalam negara mereka kita kena hormat.
“Itu keperluan dan kepentingan politik dan juga keadaan negara mereka,” katanya pada sidang media semasa lawatan ke Sawah Ring, Tangkak hari ini.
Jelas Mohamad, India memberhentikan eksport bawangnya berikutan keadaan politik negara terbabit.
Pada akhir tahun lalu, direktorat perdagangan luar negeri India mengumumkan larangan eksport bawang berikutan kekurangan bekalan dan harga yang tinggi di negara itu yang berpotensi menjadi kekecohan politik.
“Kita akan import daripada negeri-negeri lain. Saya ingat berhenti eksport barang ini keadaan politik dalam negara mereka (India). Mereka nak pilihan raya selepas pilihan raya mungkin mereka akan eksport semula bawang itu.
“Kita boleh ambil bawang daripada lain negara seperti China dan Thailand, Pakistan dan lain negeri.
“Kita tak boleh nak katakan semua dapat diselesaikan sebab masalah makanan ini bergantung kepada suasana dan keadaan tetapi barang-barang itu ada. Insya-Allah macam ayam dan telur sekarang sudah stabil dan kita harap barang-barang lain pun akan stabil.
“Kita tidak ada mengalami kekurangan bekalan bawang cuma harganya turun naik,” katanya.- MalaysiaGazette