JOHOR BAHRU – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor komited meningkatkan aspek untuk memendekkan tempoh masa bertindak (respond time) terhadap sesuatu panggilan kecemasan.
Pengarah (JBPM) Johor, Siti Rohani Nadir berkata, ia adalah untuk memastikan setiap respond time dibuat di bawah tempoh sembilan minit 30 saat.
“Kita ada banyak sasaran yang ditetapkan bagi tahun 2024 ini, antaranya adalah untuk memendekkan tempoh masa bertindak, ini bertujuan untuk memberikan perkhidmatan dan bantuan kecemasan terbaik dalam situasi seperti kebakaran dan panggilan kecemasan.
“Kita meletakkan sasaran untuk capai 63 peratus daripada keseluruhan panggilan kecemasan di bawah respond time ditetapkan iaitu sembilan minit 30 saat.
“Namun ini bagi panggilan kecemasan, aspek menyelamatkan panggilan seperti halau tebuan dan lain-lain tidak terpakai,” katanya dalam sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perbarisan Tahunan JBPM Johor Tahun 2024 di Ibu Pejabat JBPM Johor hari ini.
Bagi memastikan perkara tersebut dapat dilaksanakan, pihaknya akan memastikan aspek kesiapsiagaan anggota dan penyelenggaraan jentera dalam keadaan baik.
“Kita telah miliki peruntukan untuk tujuan tersebut, selain itu kita juga sedang menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan dan tambah baik melibatkan beberapa balai bomba termasuk Balai Bomba dan Penyelamat Larkin,” katanya lagi.
Terdahulu, Siti Rohani menyerahkan anugerah penghargaan kepada rakan strategik JBPM Johor melibatkan sembilan orang awam dan seramai 17 pengamal media pelbagai agensi cetak dan elektronik.- MalaysiaGazette