Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud bersama isterinya, Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib.

KUALA LUMPUR – Selepas menafikan dakwaan bahawa beliau membawa bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud keluar dari hospital yang bertentangan dengan nasihat doktor, Toh Puan Raghad Kurdi Taib merayu agar rakyat Sarawak menghentikan sangkaan buruk terhadapnya.

Dalam kenyataan satu muka surat, Raghad berkata, rayuan itu dibuat bagi memastikan beliau dapat menjaga suaminya pada ketika ini.

“Sejak beberapa hari lalu, tersebar imej dan berita di portal dan media sosial yang mencemarkan imej dan nama baik saya sebagai isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Sarawak.

“Satu-satunya kebimbangan saya pada masa ini ialah kesejahteraan suami saya, Tun Taib,” katanya.

Kenyataan itu dikeluarkan Raghad pukul 1.21 pagi tadi.

Dalam kenyataan itu, Raghad juga turut merayu agar semua pihak tidak percaya kepada sebarang khabar angin bahawa beliau akan melarikan diri.

“Walaupun saya adalah orang asing, tetapi sekarang saya rakyat Malaysia dan akan sentiasa menjadi rakyat Malaysia.

“Saya tidak akan meninggalkan negara ini dan akan meneruskan kerja-kerja amal saya kepada rakyat Sarawak selepas Tun Taib kembali sihat, Insya-Allah,” katanya lagi.

Semalam, Raghad menafikan dakwaan  beliau membawa suaminya keluar dari hospital yang bertentangan dengan nasihat doktor.

Dalam hantaran di Instagram, Toh Puan Raghad Kurdi Taib menafikan dakwaan terbabit yang membawa kepada laporan polis hingga siasatan dilancarkan.

“Itu tidak benar. Ini buktinya,” tulisnya pada hantaran Instagramnya yang melampirkan bersama nota jururawat.

Nota terbabit bertarikh 2 Februari yang menyaksikan tulisan tangan sukar dibaca dan dipercayai ditandatangani seorang jururawat bernama Benedette Tommy.

Dalam pada itu, polis Sarawak mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian Tun Abdul Taib dibawa keluar dari sebuah hospital swasta, tengah malam tadi.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Mancha Ata dipetik berkata, siasatan kini sedang dijalankan mengikut Seksyen 336 Kanun Keseksaan iaitu perbuatan cuai sehingga membahayakan nyawa atau keselamatan orang lain. – MalaysiaGazette