IPOH – Seorang lelaki warga asing maut manakala lima lagi rakannya cedera selepas rumah kayu yang didiami mereka di sebuah taman peringatan di Jalan Tanjung Rambutan di sini dihempap pokok tumbang lewat petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kejadian berlaku ketika hujan dan angin kuat menyebabkan rumah keenam-enam lelaki warga Indonesia itu dihempap sebatang pokok besar.
“Lima mangsa telah dikeluarkan oleh orang awam manakala seorang mangsa berusia 40 tahun dikeluarkan oleh pasukan bomba dan disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan,” menurutnya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata pihaknya mengerahkan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tambun dengan dibantu BBP Sungai Siput ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan pada 6.15 petang.
Sabarodzi juga berkata mayat mangsa dan kesemua yang cedera termasuk seorang parah dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini untuk tindakan serta rawatan lanjut.
Operasi tamat pada 9.40 malam selepas anggota bomba melakukan pemantauan semula bagi memastikan tiada mangsa lain yang terperangkap dan keadaan dipastikan selamat.
— BERNAMA