GEORGE TOWN – Tindakan seorang lelaki dan wanita mengacu pisau serta menendang penunggang motosikal yang melalui Jambatan Pulau Pinang mengundang kegusaran orang ramai.

Berdasarkan perkongsian rakaman video berdurasi lebih satu minit di aplikasi X itu mendapati kejadian membabitkan pasangan sama dan ia bukan pertama kali berlaku.

Pasangan lelaki dan wanita itu dipercayai orang kelainan upaya (OKU) dan mereka dilihat sengaja menyerang beberapa penunggang motosikal yang menghampiri mereka.

Selain mengacu pisau dan menendang, wanita yang juga pembonceng motosikal berkenaan turut bertindak melibas tali serta membaling pasir ke arah pengguna jalan raya lain.

“Kenapa masih tiada tindakan diambil pihak berkuasa, takkan nak tunggu nyawa penunggang motosikal melayang baru nak bertindak?

“Ikutkan hati nak sergah (serang) tapi nampak mereka macam OKU, nanti aku pulak kena tangkap konon tak berperikemanusiaan terhadap pasangan tu,” tulis @PuteraMahaWangsa.

“Memang ramai penunggang motosikal sudah jadi mangsa mereka ini cuma belum ada kecederaan parah atau mati. Mereka bukan baru hari ini (semalam) ditemui atas Jambatan Pulau Pinang.

“Pedih bila kena libas dengan tali nasib aku tak terbabas masuk laut,” kata @Sobrie19.

Sementara itu, Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah memaklumkan tiada laporan berhubung kejadian itu diterima pihaknya setakat ini.

“Bagaimanapun kita akan kesan pelaku tersebut,” katanya hari ini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast