Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan bercakap kepada media mengenai kejayaan pihak polis menumpaskan sindiket makmal haram memproses dadah jenis methamphetamine pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Shah Alam, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 06 FEBRUARI 2024.

KUALA LUMPUR – Polis Selangor menerima enam laporan penipuan atas talian menggunakan dokumen palsu Angkatan Pertahanan Awam (APM) negeri itu yang melibatkan kerugian RM156,225 sejak Januari lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, laporan itu diterima dari Kajang, Petaling Jaya, Serdang, Sepang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam.

Modus operandi suspek menyamar sebagai kakitangan APM dan menghubungi mangsa dengan menawarkan tender kerja-kerja pembekalan dan perolehan menggunakan kepala surat palsu Kementerian Pembangunan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Mangsa kemudian diminta menandatangani borang akuan terima jika bersetuju mendapatkan projek tersebut.

“Selepas mangsa bersetuju, mangsa diminta untuk membekalkan barang-barang dan peralatan yang terdapat dalam tender dengan kadar segera dan diarahkan untuk memasukkan wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek secara atas talian.

“Apabila mangsa membuat semakan dengan pihak Angkatan Pertahanan Awam Negeri Selangor mendapati dokumen tersebut adalah palsu dan tawaran tender tersebut tidak wujud dan mangsa rasa telah ditipu,” katanya menerusi kenyataan.

Hussien berkata, polis telah membuka enam kertas siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan sebarang panggilan telefon daripada orang yang tidak dikenali yang mendakwa dirinya daripada jabatan kerajaan dan mahu menawarkan tender projek menerusi dalam talian.

“Orang ramai juga dinasihatkan agar membuat pengesahan terlebih dahulu dengan jabatan kerajaan yang terlibat untuk pengesahan kesahihan dokumen yang diberikan secara atas talian.

“Orang ramai boleh menghubungi mana-mana balai polis atau talian hotline PDRM untuk membuat pertanyaan jika menerima panggilan yang mencurigakan,” tambah beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast