Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir. ts Wan Mohammad Zaidi Wan Isa

KUANTAN – Kegagalan penyelenggaraan sistem pendawaian elektrik dipercayai punca sebuah blok di Sekolah Kebangsaan (SK) Senderut di Pos Senderut, Kuala Lipis dekat sini hangus dalam kebakaran 1 Februari lepas.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Datuk Ir. Ts Wan Mohammad Zaidi Wan Isa berkata, bangunan yang diperbuat daripada kayu itu menjadi punca api marak dengan cepat ketika kejadian.

“Sebab itu bomba menyarankan perlunya buat pemeriksaan berkala selama 10 tahun sekali kerana apabila kita dapati sistem pendawaian tidak berada dalam keadaan baik maka dia (premis) perlu baiki sistem pendawaian itu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Acara Perbarisan Tahunan Bagi Tahun 2024 JBPM Pahang di Ibu Pejabat JBPM Pahang di sini hari ini.

Dalam program tersebut, JBPM Pahang telah menerima empat buah bot gentian fiber lengkap dengan aksesori yang bernilai RM 44,800.00 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Pengarah JBPM Pahang, Datuk Ir. ts Wan Mohammad Zaidi Wan Isa menerima empat buah bot gentian fiber lengkap dengan aksesori yang bernilai RM 44,800.00 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

Mengulas lanjut, Wan Mohammad Zaidi berkata, pihak sekolah yang mempunyai sistem pendawaian lama atau bermasalah disaran mendapatkan bantuan JBPM untuk membuat pemeriksaan.

“Pihak sekolah juga boleh memohon agar bomba buat semakan dan pemeriksaan di premis masing-masing di bawah program Menghapus Bahaya Kebakaran (MBK),” tambahnya.

Selain itu, beliau turut memberitahu, lebih 40 daripada 173 buah sekolah tahfiz yang berdaftar dengan Majlis Ugama Islam & Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) telah diperiksa tahun lepas.

Bagi tahun ini pula, beliau berkata, pihaknya akan berbincang dan bekerjasama dengan MUIP untuk membuat pemeriksaan bersekali bagi tujuan pengeluaran lesen pengiktirafan operasi sekolah tahfiz.-  MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Bilik tayangan Sekolah Kebangsaan Senderut hangus terbakar

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube : MalaysiaGazette TV
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast