KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian menyusut 0.1 peratus tahun ke tahun pada Disember 2023 dipengaruhi oleh sektor pembuatan selepas merekodkan pertumbuhan positif bagi dua bulan berturut-turut (November 2023: 0.6%; Oktober 2023: 2.4%).

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin berkata, penurunan tersebut disebabkan oleh penyusutan dalam sektor pembuatan pada negatif 1.4 peratus (November 2023: -0.1%).

Sebaliknya, sektor perlombongan dan elektrik masing-masing mengekalkan momentum positif dengan mencatatkan 3.6 peratus (November 2023: 1.9%) dan 4.6 peratus (November 2023: 4.3%).

Perbandingan dengan bulan sebelumnya, IPP terus merosot kepada 1.3 peratus berbanding negatif 0.9 peratus yang direkodkan pada bulan sebelumnya.

“Kemerosotan pengeluaran pembuatan adalah dipengaruhi oleh penurunan yang berterusan dalam industri berorientasikan eksport yang menurun sebanyak 4.1 peratus (November 2023: -2.7%) disebabkan terutamanya oleh kejatuhan dalam pembuatan komputer, produk elektronik & optikal (-7.2%); pembuatan kok & produk petroleum bertapis (-4.6%); dan pembuatan kelengkapan elektrik (-7.6%).

“Penurunan ini juga mencerminkan prestasi eksport negara, yang mengalami kejatuhan secara berterusan kepada negatif yang lebih besar iaitu 10.0 peratus pada Disember 2023. Perbandingan bulan ke bulan, industri berorientasikan eksport menyusut 3.3 peratus,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sebaliknya, industri berorientasikan domestik mengekalkan prestasi kukuh sebanyak 4.2 peratus pada Disember 2023 berbanding 5.8 peratus pada bulan sebelumnya.

Pengembangan ini dipacu terutamanya oleh pertumbuhan 9.7 peratus dalam pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin & kelengkapan; diikuti oleh pembuatan produk prosesan makanan pada 6.2 peratus; dan pembuatan produk galian bukan logam lain sebanyak 5.3 peratus.

Perbandingan dengan bulan sebelumnya, industri berorientasikan domestik menurun kepada negatif 1.1 peratus berbanding peningkatan 3.7 peratus pada November 2023.

Mohd Uzir menambah, pengeluaran sektor perlombongan berkembang sebanyak 3.6 peratus pada Disember 2023 berbanding 1.9 peratus yang direkodkan pada November 2023.

Peningkatan ini didorong oleh pengembangan 5.0 peratus dalam pengeluaran gas Asli (November 2023: 1.7%) dan minyak mentah
& kondensat yang tumbuh 1.6 peratus (November 2023: 2.1%) pada bulan tersebut.

Berbanding November 2023, indeks Perlombongan meningkat 2.8 peratus berbanding negatif 1.8 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Pada masa yang sama, penjanaan elektrik tumbuh 4.6 peratus pada Disember 2023 selepas mencatatkan peningkatan 4.3 peratus pada bulan lalu berbanding bulan sebelumnya, indeks elektrik memulih kepada 1.1 peratus daripada negatif 4.7 peratus yang direkodkan pada November 2023.

Secara keseluruhan, pada suku tahun keempat 2023, IPP mencatatkan peningkatan 1.0 peratus tahun ke tahun berbanding negatif 0.05 peratus yang direkodkan pada suku tahun ketiga 2023.

Pada tempoh tersebut, sektor perlombongan dan elektrik meningkat masing-masing sebanyak 4.3 peratus dan 4.9 peratus.

Sebaliknya, sektor pembuatan menurun secara marginal sebanyak 0.2 peratus pada suku tahun tersebut, meneruskan trend negatif untuk dua suku tahun berturut-turut.

Perbandingan dengan suku tahun ketiga 2023, IPP tumbuh 2.5 peratus disokong terutamanya oleh sektor perlombongan dan pembuatan masing-masing pada 11.6 peratus dan 0.6 peratus.

“IPP mencatatkan pertumbuhan marginal sebanyak 0.9 peratus pada tahun 2023 berbanding 6.7 peratus pada tahun 2022. Semua sektor mencatatkan pertumbuhan positif iaitu indeks elektrik (2.5%); indeks perlombongan (0.8%); dan indeks pembuatan (0.7%),” ujarnya. – MalaysiaGazette