SEPANG – Berat muatan kenderaan melebihi had merupakan antara faktor berlakunya kemalangan di lebuh raya, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.
Menurut beliau, masalah tersebut merupakan tumpuan utama penguatkuasaan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada masa kini susulan peningkatan kemalangan melibatkan kenderaan berat sejak kebelakangan ini.
Sehubungan itu, katanya, penguatkuasaan akan ditambah demi memastikan masalah tersebut dapat ditangani.
“Ini merupakan satu masalah besar yang telah pun berlanjutan sekian lama dan antara faktor kemalangan kadang berlaku ialah overloading. Jadi ini adalah satu masalah yang perlu kita tangani secara bersepadu dan penguatkuasaan akan ditambah,” katanya.
Beliau berkata ketika hadir di Program Pelepasan Penumpang Batik Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Sibu hari ini.
Selain itu, Anthony menambah, pihak penguatkuasaan sememangnya digalakkan untuk menjalankan operasi di lebuh-lebuh raya.
“Sejak beberapa bulan ini memang daripada segi penguatkuasaan kita bertambah jumlah saman yang dikeluarkan juga bertambah kepada terutamanya kepada pengusaha pengusaha kenderaan perdagangan,” katanya lagi.
Terdahulu Plus Malaysia Berhad (Plus) hari ini berkata, perhatian serius dan langkah lebih yang drastik perlu diambil terhadap pemandu serta operator kenderaan berat berikutan trend kemalangan membabitkan kenderaan itu meningkat.
Pengarahnya, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, ia bukan sahaja pada musim perayaan malah pada setiap masa memandangkan peningkatannya yang semakin serius dan membimbangkan.
Menurutnya, walaupun jumlah kenderaan berat yang menggunakan Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) hanyalah lapan peratus namun kematian akibat kemalangan menyumbang sebanyak 10 peratus daripada jumlah kematian di sepanjang Lebuh Raya Plus tahun lalu.- MalaysiaGazette