ALOR SETAR – Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) baru-baru ini memperkasa produktiviti dengan meningkatkan kecekapan proses kerja melalui penerapan teknologi dan digitalisasi.

Usaha itu dilakukan melalui kolaborasi dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), Nexus Produktiviti Pembinaan (CPN) dan para pemain industri pembinaan.

Ketua Eksekutif CIDB, Malaysia, Datuk Sr Mohd Zaid Zakaria berkata, kini pihaknya sedang meneraju pelaksanaan projek rintis penggunaan sistem National BIM e-Submission (NbeS) bagi permohonan pemaju pelan bangunan.

”NBeS merupakan inisiatif CIDB untuk Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mengguna pakai teknologi Building Information Modeling (BIM) manakala BIM merupakan proses penyediaan, penggunaan dan perkongsian model 3D menerusi teknologi digital.

”Ia mengandungi maklumat yang dapat digunakan oleh semua pihak yang terlibat dalam sesebuah projek bagi mencapai objektif di sepanjang fasa pelaksanaan projek.

”Penerimagunaan BIM secara meluas akan meningkatkan produktiviti dan daya saing sektor pembinaan negara melalui proses kerja yang lebih cekap, berkesan, fleksibel dan inovatif,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Zaid, penggunaan BIM dapat mengurangkan kos, meningkatkan kualiti dan mempercepatkan tempoh penyiapan projek pembinaan.

Sementara itu, Ketua Pengarah MPC, Zahid Ismail berkata, BIM Station MPKK dijangka beroperasi sepenuhnya pada April 2024.

”Penggunaan BIM Station MPKK yang mengguna pakai sistem NBeS disasar akan mengurangkan tempoh memproses permohonan kelulusan pelan bangunan kepada hanya 24 jam berbanding 57 hari pada keadaan semasa.

”Penggunaan BIM secara meluas oleh PBT akan meningkatkan produktiviti sektor pembinaan di mana pelbagai pihak dalam sesebuah projek pembinaan boleh bergerak secara serentak melalui satu sistem digital yang sama.

”Ini memudahkan perkongsian maklumat, meningkatkan kecekapan komunikasi dan menambah baik koordinasi kerja.

”MPC komited dalam memudah cara perluasan usaha ini agar lebih banyak PBT mengguna pakai sistem NBeS dalam memproses permohonan kelulusan pelan bangunan,” katanya.

Tambah beliau, usaha MPKK dalam melonjakkan produktiviti melalui kecekapan proses dan penerimagunaan teknologi digital perlu dijadikan contoh kepada PBT lain. – MalaysiaGazette