KUANTAN – Proses membawa turun jenazah pendaki wanita yang meninggal dunia di Gunung Reskit, Kuala Tahan, Jerantut dekat sini semalam terpaksa ditangguhkan sehingga esok.
Dalam kenyataannya, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azman Mat Kamis berkata, ia selepas kesukaran dihadapi helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan operasi tersebut ekoran keadaan cuaca hari ini.
“JBPM melakukan percubaan sebanyak dua kali iaitu pada 8.30 pagi dan 3.30 petang namun gagal berikutan awan tebal di lokasi terbabit.
“Helikopter berpatah balik dan mendarat untuk mengisi bahan api di Gua Musang sebelum mendarat semula di padang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford, Kuala Lipis pada 12.30 tengah hari,” katanya dalam satu kenyataan.
Azman memberitahu, operasi terpaksa ditangguhkan pada pukul 5.15 petang selepas kegagalan percubaan kali kedua penerbangan yang dijalankan pada 3.30 petang.
Bagaimanapun, katanya, operasi akan bersambung mulai 7 pagi esok di mana pasukan penyelamat dijangka mendarat di Gunung Gedung yang terletak kira-kira 1.5 kilometer dari tempat kejadian.
Terdahulu, Azman dilaporkan berkata, mangsa, Allahyarham Zahalitha Othman, 52, dilaporkan mengalami sesak nafas dan meninggal dunia semalam ketika menyertai program pendakian sejak 1 Februari lalu. – MalaysiaGazette