BAGAN DATUK – Seorang lelaki diburu bagi membantu siasatan kes cabul seorang pekerja pusat kecantikan di Lorong Lagenda, Hutan Melintang di sini pada 13 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada mangsa wanita berumur 22 tahun kira-kira pukul 1.30 tengah hari.
Katanya, mangsa mendakwa badannya diraba dan dipeluk dari belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali semasa mahu membuka pintu premis berkenaan.
“Lelaki itu kemudiannya terus melarikan diri dari lokasi kejadian.
“Siasatan polis di tempat kejadian mendapati, kamera litar tertutup (CCTV) berjaya merakam wajah suspek namun sehingga kini suspek gagal dikesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Ahmad Adnan, kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan iaitu mencabul kehormatan.
Sehubungan itu, orang ramai meminta orang ramai yang melihat atau mengenali suspek untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat kes, Sarjan Shahzawani di talian 05 629 9222. – MalaysiaGazette