SEPANG – Rang undang-undang (RUU) penggabungan antara Suruhanjaya Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) akan dibentang di Parlimen pada sesi kedua tahun ini.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, sehingga kini proses penggabungan kedua-dua badan untuk dijadikan sebuah agensi tunggal masih diteruskan.
“Proses penggabungan CAAM dan Mavcom ketika ini masih berterusan, kita harap untuk bawa ke Parlimen pada tahun ini. Pada tahun ini ada tiga sesi Parlimen, kalau bukan sesi kedua, ia akan (dibentangkan) pada sesi ketiga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa Program Pelepasan Penumbang Penerbangan Batir Air dari Air dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 1 (KLIA) ke Sibu, Sarawak hari ini.
Sebagai rekod, pada 23 Oktober tahun lalu, penggabungan antara Mavcom dan CAAM dilaporkan perlu bagi memudahkan pengawal seliaan sektor penerbangan negara.
Sementara itu, Anthony mengalu-alukan mana-mana syarikat penerbangan di negara ini yang ingin menambah jumlah penerbangan terutamanya ketika musim perayaan.
Jelasnya, inisiatif berkenaan dapat membantu menstabilkan harga tiket penerbangan sekaligus menambah kapasiti bagi memenuhi permintaan yang tinggi.
“Saya difahamkan bahawa Batik Air sedang menambah bilangan pesawat mereka dan berharap ia akan melibatkan lebih banyak destinasi.
“Ini merupakan satu persaingan yang sihat kepada industri penerbangan dan kita lihat tahun lepas angka penumpang telah pun hampir kembali seperti sebelum Covid-19.
“Jadi kita menjangkakan tahun ini, permintaan akan terus kukuh terhadap sektor penerbangan selain jumlah penumpang untuk tahun ini akan terus bertambah dan ini memerlukan kerjasama daripada syarikat-syarikat penerbangan supaya sentiasa mencari jalan untuk menambah kapasiti dan penerbangan mereka,” tambahnya.
Pada tahun lalu, hampir 85 juta penumpang dicatatkan dengan jumlah tersebut membabitkan kira-kira 60 peratus penumpang domestik dan 40 peratus penumpang antarabangsa, katanya.-MalaysiaGazette