KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju memberikan tol percuma kepada pengguna lebuh raya seluruh negara sempena sambutan Tahun Baru Cina.

Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi berkata, semua kelas kenderaan akan menikmati tol percuma bermula 12.01 tengah malam Khamis  (8 Februari) hingga 11.59 malam Jumaat ini (9 Februari).

Bagaimanapun, katanya, ia tidak termasuk bagi Plaza Tol Bangunan Sultan Iskandar (Tambak Johor) dan Tanjung Kupang (Lebuhraya Linkedua) di Johor.

“Tol percuma oleh Kerajaan ini adalah sebagai tanda prihatin dan sama-sama ingin berkongsi kegembiraan bersama rakyat Malaysia yang menyambut perayaan Tahun Baru Cina kali ini,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, inisiatif tersebut akan memberikan implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM42.99 juta.

“Pendekatan pemberian tol percuma ini adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Perpaduan yang menitikberatkan soal kebajikan rakyat dan sentiasa membantu meringankan kos sara hidup rakyat,” tambahnya.

Alexander berharap pemberian tol percuma itu akan dimanfaatkan oleh rakyat sepenuhnya dengan merancang perjalanan selain mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan.

“Aspek keselamatan serta pemanduan selamat perlulah dipatuhi supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat dan sambutan perayaan Tahun Baru Cina ini akan menjadi lebih bermakna bersama keluarga tercinta.

“Pengguna juga dinashatkan untuk mendapatkan rehat secukupnya dan memastikan baki kad Touch ‘n Go serta eWallet adalah mencukupi,” ujarnya.

Katanya, pengguna boleh menyemak status trafik atau insiden di lebuh raya yang akan dikemaskini di media sosial rasmi Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) iaitu di Facebook: Lembaga Lebuhraya Malaysia atau di aplikasi X @LLMtrafik secara berkala.

Pengguna lebuh raya juga boleh menghubungi Pusat Pengurusan Trafik LLM di talian 1-800-88-7752 untuk mendapatkan maklumat terkini keadaan trafik atau bantuan,” tambah beliau.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast