Hasanuddin Mohd Yunus

KUALA LUMPUR – Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) mengambil berat mengenai kes petisyen dikemukakan Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman terhadap Kerajaan Negeri Kelantan di Mahkamah Persekutuan yang dijadualkan keputusannya esok.

YADIM berpandangan apa jua keputusan tersebut tidak akan melemahkan Mahkamah Syariah sebaliknya keputusan itu akan memberikan satu titik kepastian mengenai kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menggubal sesuatu undang-undang berkaitan agama Islam.

Itu tegas Yang Dipertua YADIM, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus.

“Keputusan ini juga akan memastikan mahkamah syariah akan berada di landasan yang sepatutnya menurut Perlembagaan Persekutuan dan sekaligus akan mengelakkan sebarang keputusan Mahkamah Syariah dicabar pada masa hadapan,” katanya dalam satu kenyataan.

YADIM, menurut Hasanuddin percaya sistem keadilan di Malaysia masih tetap utuh berpaksikan kepada prinsip kedaulatan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan.

Para hakim yang menganggotai panel hakim kes itu juga telah berikrar dan bersumpah untuk mempertahankan prinsip Perlembagaan ini.

Perlembagaan itu sendiri telah meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Namun, katanya, agama Islam itu harus ditadbir urus mengikut prinsip yang ditetapkan.

“YADIM percaya bahawa isu sebenar dalam kes Nik Elin ini sebenarnya bukanlah berkaitan dengan mencabar kedaulatan Islam atau suatu pencerobohan ke atas bidang kuasa mahkamah syariah tetapi sebenarnya adalah satu ujian kepada prinsip federalisme yang mana mahkamah Persekutuan kelak akan memutuskan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Parlimen dan undang-undang mana yang sepatutnya digubal oleh Dewan Undangan Negeri,” katanya.

Ia selari dengan apa yang disebut oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat dalam ucapan pembukaan Opening of Legal Year 2024 pada 15 Januari lalu yang menyatakan kes-kes ini tiada kaitan dengan prinsip sebenar agama Islam.

Mereka hanya mencari satu kepastian mengenai pembahagian kuasa antara Persekutuan dan Negeri).

Justeru, YADIM menyeru kepada semua umat Islam bertenang dan berlapang dada dalam menerima sebarang keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan terhadap Petisyen Nik Elin ini.

YADIM juga percaya Majlis Raja-Raja bersama dengan Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengambil tindakan proaktif selepas daripada keputusan kes ini untuk memastikan pentadbiran agama Islam berada di landasan yang tepat menurut undang-undang dan Perlembagaan negara. – MalaysiaGazette