Seramai 11 wanita GRO asing ditahan di kelab malam berkonsep KTV oleh ATIPSOM di Batu Pahat pada Khamis.- Gambar ihsan ATIPSOM Bukit Aman.

KUALA LUMPUR – Dua gadis remaja warga asing yang disyaki direkrut sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) diselamatkan dalam serbuan sebuah pusat hiburan di Batu Pahat, Johor awal pagi tadi.

Pada masa yang sama seorang wanita warga tempatan yang telah memainkan peranan sebagai pihak merekrut wanita itu sebagai GRO turut diberkas di sebuah kelab di Taman Bukit Pasir itu.

Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, serbuan dijalankan kira-kira  1.30 pagi menerusi Op Pintas oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian D3 Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (Atipsom) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Pahat.

Hasil pemeriksaan di dalam kelab malam itu, seramai 15 individu berjaya ditahan termasuk 11 wanita asing yang disyaki berkhidmat sebagai GRO di dalam kelab itu.

“Wanita disyaki GRO ini terdiri daripada empat warga Laos, enam warga Vietnam dan seorang warga Myanmar. Seorang wanita tempatan yang berusia 56 tahun disyaki berperanan sebagai pengurus premis dan penjaga GRO atau mummy juga antara individu yang berjaya ditahan dalam serbuan di kelab malam itu.

“Turut diberkas di kelab itu adalah tiga lelaki yang terdiri daripada warga Laos, Myanmar dan Bangladesh,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dua gadis remaja warga Laos yang disyaki diperdagangkan dan bekerja sebagai GRO di pusat hiburan diselamatkan dalam serbuan di Batu Pahat pada Khamis. Ihsan ATIPSOM Bukit Aman

Tambah Soffian, wanita tempatan yang berperanan sebagai mummy merekrut wanita GRO itu sedang dilibatkan dalam siasatan di bawah Seksyen 44(1) Akta Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.

Selain itu, pasukannya turut berjaya menyelamatkan dua gadis remaja warga Laos berusia 17 tahun selepas kedua-duanya disyaki diperdagangkan dan bekerja sebagai GRO di pusat hiburan terbabit sejak tiga bulan lalu.

“Siasatan awal kami mendapati pusat hiburan berkonsepkan KTV ini menawarkan GRO dengan bayaran tip antara RM50 hingga RM200 kepada pelanggan mereka untuk terhibur di premis tersebut.

“Justeru, pihak yang mengawal pusat hiburan itu hanya membenarkan pelanggan tetap mereka untuk masuk ke dalam premis tersebut mengelak diceroboh pihak berkuasa.

“Selain itu, pemeriksaan lanjut juga mendapati premis berkenaan beroperasi sejak tujuh tahun lalu itu dan dipasang dengan kawalan kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengawasi sebarang pergerakan meragukan di sekeliling kawasan premis itu

“Malah terdapat juga beberapa ruang dan bilik rahsia sebagai tempat untuk menyembunyikan GRO bagi ditangkap jika premis itu dikesan dan diserbu pihak berkuasa,” ujarnya. – MalaysiaGazette