KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menafikan dakwaan kononnya beliau mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri untuk merisik jawatan dalam kerajaan.
Ahli Parlimen Larut itu berkata, beliau tidak pernah berjumpa Datuk Seri Anwar Ibrahim secara bersendirian bagi tujuan itu.
“Siapa dia? Mana saya nak tahu. Ini fitnah ke, palsu ke? Yang orang kata saya (merisik jawatan) adalah palsu.
“Saya nak maklumkan saya tidak pernah jumpa Anwar Ibrahim semenjak dia jadi Perdana Menteri (untuk minta jawatan). Terjumpa di Parlimen itu, adalah,” katanya dalam sidang media hari ini.
Hamzah ditanya mengenai desas-desus kononnya beliau sedang merisik jawatan dalam kerajaan dan poster mengenai dakwaan itu telah disebarkan melalui aplikasi WhatsApp.
Beliau turut menafikan dakwaan kononnya ada kalangan ahli Parlimen Bersatu berbuat demikian.
Katanya, isu tersebut telah ditimbulkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu baru-baru ini dan mereka yang didakwa berbuat demikian telah bersumpah dengan nama Allah menafikan tuduhan tersebut.
“Inilah dia saya nak beritahu mesyuarat baru ini ada MPT Bersatu, semua mereka yang dituduh itu bersumpah wallahi tak pernah jumpa Anwar Ibrahim. Jadi tak adalah kot,” katanya yang ditemui selepas mengadakan mesyuarat dengan Pengerusi-Pengerusi Portfolio Perikatan Nasional.
Ahad lalu, portal Free Malaysia Today (FMT) memetik sumber melaporkan seorang pemimpin utama Bersatu sering kelihatan di Pejabat Perdana Menteri dan dipercayai melakukan rundingan demi survival beberapa pemimpin tertentu sehingga pemilihan parti.
Sumber yang enggan dinamakan itu mendakwa, ‘lebih ramai’ wakil rakyat Bersatu dijangka mengisytiharkan sokongan kepada Anwar.
Setakat ini, enam Ahli Parlimen Bersatu telah menyatakan sokongan kepada Anwar menyebabkan parti itu meminda perlembagaan parti bagi mengelak tindakan sama berulang.
Mereka ialah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).- MalaysiaGazette