Anggota imigresen memeriksa dokumen warga asing dalam operasi semalam.

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menggempur 19 kawasan panas warga asing di empat daerah negeri ini semalam.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Baharuddin Tahir berkata, dalam operasi itu seramai 50 warga asing berumur antara tiga dan 52 tahun.

Mereka yang ditahan terdiri daripada 27 orang warga Myanmar, warga Indonesia (8), warga Bangladesh (7), warga Nepal (4), warga India (2) dan masing-masing seorang warga Pakistan dan Vietnam.

“Kesemua yang ditahan itu dipercayai bekerja dan tinggal di Malaysia tanpa sebarang pas atau permit yang sah serta tinggal lebih masa di negara ini.

“Tindakan diambil susulan aduan awam yang diterima menyatakan terdapat beberapa warganegara asing yang tinggal dan bekerja tanpa pas/permit yang sah di lokasi hotspot tersebut.

“Dalam operasi itu, seramai 266 orang warga asing serta tempatan telah diperiksa dan 50 daripada mereka telah ditahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tangkapan dibuat sepasukan pegawai dari Bahagian Penguatkuasa JIM Johor, pegawai Unit Penguatkuasa Cawangan Muar dan pegawai Unit Penguatkuasa Cawangan Batu Pahat hasil serbuan di 63 premis di Johor Bahru, Muar, Batu Pahat dan Pontian.

Baharuddin berkata, kesemua mereka dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tidak memiliki sebarang pas atau permit yang sah.

Manakala, sebahagian daripada mereka ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) kerana tinggal lebih masa dan Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar syarat pas yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast