Mohd Naim Mokhtar pada sidang media hari ini.

PUTRAJAYA – Pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam atau Mahkamah Syariah Negeri-negeri lebih baik dilakukan berbanding Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar berkata, penyelarasan undang-undang, prosedur dan tatacara perundangan Mahkamah Syariah perlu dilakukan segera agar institusi umat Islam itu lebih dihormati.

“Akta 355 itu berkaitan dengan bidang kuasa mahkamah, kita nak buat pindaan menyeluruh sebab kita nak naikkan martabat Mahkamah Syariah bukan sahaja dalam konteks bidang kuasa.

“Sebenarnya kita nak buat perubahan pada tatacara ini lagi penting sebab ini touch point, orang akan tengok masuk kat mahkamah akan lebih dihormati,” katanya ketika pemberita, di sini, hari ini.

Semalam, media melaporkan Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menggesa agar semua undang-undang, prosedur dan tata kelola kehakiman dan perundangan Mahkamah Syariah diselaraskan di seluruh negara.

Presiden PGSM, Musa Awang berkata, sepanjang pengalamannya berkhidmat di beberapa negeri, prosedur dan tatakelola yang tidak selaras di antara negeri sangat ‘meletihkan’ bagi pengamal undang-undang Mahkamah Syariah.

Dalam pada itu, Mohd Naim berharap pindaan tata kelola Mahkamah Syariah itu lebih mesra pengguna dan bersifat kekeluargaan.

“Tatacara yang nak diselaraskan itu, saya harapkan, alang-alang kita nak ubah tatacara itu, biarlah berbentuk kekeluargaan dan mesra pengguna.

“Apabila orang bicara masuk mahkamah, takut dengan hakim macam itu semua, ganas brutal macam itu kan.

“Jadi macam mana nak mewujudkan satu tatacara yang mesra pengguna dan bersifat kekeluargaan,” katanya.

Beliau turut meminta Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) melihat semula tatacara sedia ada sebelum tatacara perundangan Syariah itu diselaraskan di seluruh negara.

“Perlu lebih mesra pengguna dan berbentuk kekeluargaan, sesuai dalam mengendalikan kes-kes kekeluargaan.

“Mahkamah Syariahkan bicara soal keluarga, nikah, cerai dan sebagainya.

“Setakat ini tatacara sedia ada tidak berbentuk mesra pengguna dan kekeluargaan.

“Saya nak minta JKSM sebagai agensi menyelaraskan tatacara Mahkamah-mahkamah Syariah ini,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast