Ahmad Sukarno menunjukkan rampasan dadah melibatkan warga Myanmar di sentul dalam sidang media hari ini.

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki Myanmar yang dipercayai memperoleh dadah dari Thailand ditangkap di Taman Wilayah, dekat sini hasil risikan polis.

Ketua Polis Daerah Sentul Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari berkata, pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) itu didapati melakukan pengedaran dadah menggunakan kereta yang ditinggalkan oleh rakan senegaranya.

Suspek, seorang pekerja kilang memproses perut lembu untuk dijadikan makanan telah tinggal di negara ini sejak 2000 lagi.

Lelaki berusia 50 tahun itu ditahan 3 Februari lalu jam lebih kurang 10.15 malam di hadapan sebuah kedai tukang kunci di Taman Wilayah Selayang, Off Jalan Ipoh.

“Hasil pemeriksaan ke atas suspek berjaya membawa kepada rampasan sebanyak 42 paket plastik berwarna biru disyaki dadah jenis pil Yaba seberat 824 gram, 16 botol warna putih yang berisi bahan disyaki dadah jenis kodein seberat 1.9 liter,” katanya dalam sidang media hari ini.

Pemeriksaan lanjut juga berjaya menjumpai lagi sebanyak tujuh kotak dengan setiap kotak berisi 12 botol mengandungi dadah kodein berjumlah 10 liter.

Suspek dipercayai mendapatkan bekalan daripada seorang rakan senegaranya di Thailand yang turut ditahan oleh pihak berkuasa negara itu pada 2 Februari.

Ujian saringan air kencing ke atas suspek dikesan positf dadah jenis morfin dan benzo.

Suspek kini direman sehingga 10 Februari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Sukarno menambah, polis sedang mengenal pasti rakan sejenayah dan punca bekalan suspek. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast