Friday, May 3, 2024
Home Utama 16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan tidak sah

16 Seksyen Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan tidak sah

Nik Elina Zurin (kanan) hadir bagi mendengar keputusan kes mencabar isu Perlembagaan membatalkan 18 peruntukan kesalahan di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah Kelantan 2019 di Mahkamah Persekutuan, Putrajaya. Foto WAN NABIL NASIR, 09 FEBRUARI 2024.

PUTRAJAYA – Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan sebanyak16 Seksyen di bawah Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan 2019 adalah batal dan tidak sah.

Bagaimanapun panel memutuskan dua lagi peruntukan adalah sah.

Panel sembilan hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat dalam keputusan majoriti 8-1 membenarkan petisyen Nik Elin Abdul Rashid dan anaknya Tengku Yasmin Natasha Tengku Abdul Rahman.

Hanya Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Abdul Rahman Sebli, membuat keputusan berbeza berhubung local standi.

Tengku Maimun dalam penghakiman berkata, mahkamah membenarkan petisyen itu kerana Dewan Undangan Negeri (DUN) membuat undang-undang yang ia tidak mempunyai kuasa untuk melakukannya.

“Kami membenarkan permohonan petisyen untuk suatu deklarasi bahawa Seksyen 11, 14, 16, 17, 31, 34, 36, 37(1)(b) , 39, 40, 41, 42, 43, 44, 45, 47 dan 48 Enakmen 2019 adalah batal dan tidak sah atas alasan Badan Perundangan Negeri Kelantan atau responden membuat undang-undang berkenaan hal perkara yang ia tidak mempunyai kuasa untuk membuatnya,” kata Tengku Maimun.

Sebanyak 16 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 yang diputuskan sebagai terbatal dan tidak sah.
Seksyen 11: Memusnahkan atau mencemarkan tempat ibadat
Seksyen 14: Liwat
Seksyen 16: Persetubuhan dengan mayat
Seksyen 17: Hubungan seksual dengan bukan manusia
Seksyen 31: Gangguan seksual
Seksyen 34: Memiliki dokumen palsu, memberikan keterangan, maklumat atau kenyataan palsu
Seksyen 36: Apa-apa yang memabukkan
Seksyen 39: Mengurangkan skala, ukuran dan berat
Seksyen 40: Melaksanakan transaksi muamalat yang bertentangan dengan ‘hukum syarak’ (undang-undang syariah)
Seksyen 41: Melaksanakan urus niaga mualat melalui riba
Seksyen 42: Penyalahgunaan label dan konotasi halal
Seksyen 43: Menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat
Seksyen 44: Tindakan persediaan menawarkan atau menyediakan perkhidmatan maksiat
Seksyen 45: Perbuatan maksiat sebagai persediaan
Seksyen 47: Perbuatan sumbang mahram
Seksyen 48: Muncikari (lelaki berpakaian wanita atau sebaliknya, bertentangan dengan hukum syarak)

Turut bersidang Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Abang Iskandar Abang Hashim dan Hakim Besar Malaya Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd Diah, serta Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Nallini Pathmanathan, Datuk Mary Lim Thiam Suan, Datuk Harmindar Singh Dhaliwal, Datuk Nordin Hassan dan Datuk Abu Bakar Jais.

Seksyen yang dibatalkan adalah Seksyen 11 (mengenai pemusnahan tempat ibadat, Seksyen 14 (liwat), Seksyen 17 (persetubuhan dengan haiwan), Seksyen 31 (gangguan seksual), Seksyen 34 (memiliki dokumen palsu dan memberi maklumat palsu), Seksyen 35 (mabuk), dan Seksyen 42 (penyalahgunaan label halal).

Dalam pada itu, Mahkamah Persekutuan membuat keputusan dua lagi petisyen terhadap Seksyen 13 dan Seksyen 30 Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Negeri Kelantan adalah sah.

Seksyen berkenan  berkaitan penyerahan anak kepada orang bukan Islam atau Muslim yang rosak akhlaknya (Seksyen 13), dan perkataan yang boleh memecahkan keamanan (Seksyen 30).

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid, yang berasal dari Kelantan, dan anaknya, Tengku Yasmin Nastasha Abdul Rahman memfailkan petisyen itu terus ke Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 4(4) Perlembagaan Persekutuan dan menamakan kerajaan negeri Kelantan sebagai responden tunggal.

Kedua-dua beranak itu mencabar keperlembagaan dan kesahihan 18 peruntukan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) Kelantan 2019 mendakwa Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan tidak mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang ke atas 18 kesalahan itu kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang meliputi kesalahan sama.

Untuk rekod, Badan Perundangan Negeri Kelantan tidak lagi mempunyai bidang kuasa menggubal 16 peruntukan undang-undang yang dipertikaikan itu. – MalaysiaGazette