KUALA LUMPUR – Sebuah bangunan hotel terbiar lama tanpa di Jalan Pasar Baharu, Pudu di sini yang menjadi sarang persundalan dan penempatan pendatang asing tanpa izin (PATI) digempur.
Hasilnya, seramai 263 orang yang terdiri daripada PATI dan juga wanita terlibat aktiviti pelacuran diberkas pasukan polis.
Ketika serbuan bermula lewat pukul 6 petang sehingga malam tadi, seorang lelaki warga Bangladesh nekad terjun dari tingkat satu bangunan hotel untuk melarikan diri ketika serbuan Op Noda dilaksanakan.
Bagaimanapun, niat warga asing berusia 30-an tidak tercapai apabila ditangkap anggota polis di lokasi serbuan dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
Ketua Polis Kuala Lumpur , Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, dalam serbuan sempena Op Limau itu, 229 lelaki dan 34 wanita yang terdiri daripada warga tempatan serta warga asing dari Bangladesh, Nepal, Pakistan, Myanmar, Indonesia, India, Vietnam, China dan Thailand ditahan.
“Bagi tangkapan wanita, seramai 20 orang wanita warga asing yang diberkas itu adalah berusia antara 20 hingga 40-an dan disyaki terlibat dalam aktiviti persundalan.
“Dalam operasi sama, seorang lelaki turut ditahan untuk disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana enggan memberikan kerjasama ketika serbuan dan menghalang pihak polis menjalankan tugas,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.
Turut hadir Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azry Akmar Ayob dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur Senior Asisten Komisioner Datuk Habibi Manjiji.
Katanya, pihaknya juga turut menjalankan pemeriksaan terhadap 14 kanak-kanak warga asing dalam operasi yang sama.
“Kebanyakan lelaki tempatan yang ditahan adalah pelanggan kepada pelacur yang tinggal di bilik-bilik hotel terbiar ini.
“Bagi lelaki warga asing pula, sebahagian mereka yang ditahan dalam operasi adalah penghuni manakala selebihnya adalah pelanggan pelacur dengan kadar bayaran antara RM50 hingga RM100 untuk khidmat seks,” katanya.
Tambah beliau, semua individu yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kuala Lumpur untuk pemeriksaan lanjut termasuk melakukan ujian saringan urin untuk memastikan mereka terbabit dengan penyalahgunaan dadah.
Menurut Allaudeen, mereka yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 372B Kanun Keseksaan kerana melakukan aktiviti pelacuran dan Seksyen 186 kanun yang sama atas kesalahan menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
Selain itu, katanya, kesemua tangkapan juga disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 bagi warga asing dan Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 bagi mereka yang positif dadah.
Menurutnya, keadaan hotel berkenaan yang terbiar itu menyebabkan ia dijadikan sebagai lokasi aktiviti perlacuran selain disewa kepada warga asing.
“Kita tak boleh kata ini kawasan hitam di Kuala Lumpur tetapi aktiviti pelacuran dan kehadiran PATI tertumpu di lokasi ini mungkin disebabkan bangunan hotel ini yang sudah lama tidak beroperasi dan dibiarkan kosong dan ia tidak bermakna ini kawasan hitam.
“Ini membabitkan mobilisasi sosial iaitu apabila orang tempatan keluar (dari sesuatu lokasi), warga asing pula yang masuk.
“Polis kerap menjalankan serbuan di lokasi terbabit yang dikatakan aktif dengan kegiatan pelacuran serta sedia maklum bahawa tempat ini adalah lokasi aktiviti pelacuran yang giat dijalankan buat sekian lama tetapi hari ini, lokasi ini digempur bagi membersihkannya daripada aktiviti pelacuran.
“Kita perlu siasat lebih lanjut untuk dapatkan maklumat kaedah sewa dan daripada siapa atau ada penglibatan sindiket dan sebagainya barulah akan dapatkan reman,” tegasnya.-MalaysiaGazette