KOTA TINGGI – Allahyarhamah Zahalita Othman, 52, pendaki wanita yang meninggal dunia di Gunung Tahan sempat menyediakan hidangan seminggu untuk anak-anaknya sebelum memulakan ekspedisi itu selama seminggu.
Perkara itu jarang dilakukan oleh Zahalita, kata anak bongsunya, Saffiyah Umairah Saharuddin, 17.
“Nanti esok keluarkan makanan ibu masak dan panaskan. Itu je dia cakap dan pesanan terakhir dia (ibu) ialah doakan ibu pergi dan balik.
“Kali ini sahaja kerana sebelum ini kami adik beradik pandai-pandai sendiri sebab biasa dia (ibu) pergi tak lama dalam tiga atau empat hari,” katanya ketika ditemui di kediaman mereka dekat Felda Sungai Mas,Kota Tinggi malam tadi.
Allahyarhamah Zahalita meninggalkan lima anak dan tiga cucu disifatkan seorang ibu yang cekal dan berani.
Beliau berkata, ibunya sering mengingatkan mereka supaya sentiasa bersabar kerana “sabar itu indah”.
Dalam pada itu, jenazah Zahalita, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Felda Sungai Mas dekat Kota Tinggi jam 2 pagi tadi.
Suasana pilu menyelubungi kawasan perkuburan yang dihadiri lebih 200 ahli keluarga dan kenalan rapat
Jenazah Allahyarhamah sebelum itu disembahyangkan di rumah keluarganya sebaik sahaja van membawa jenazah tiba dari Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan HTAA, Kuantan.
Zahalita mengikuti program pendakian sejak 1 Februari lalu dan meninggal dunia di Gunung Reskit, Kuala Tahan, Jerantut pada 6 Februari lalu akibat sesak nafas.
Keadaan berawan dan berkabus tebal di sekitar pergunungan itu menggagalkan dua kali operasi membawa keluar jenazahnya menggunakan helikopter Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Jenazah Zahalita hanya berjaya dikeluarkan semalam menggunakan helikopter MI -171 Unit Udara JBPM.- MalaysiaGazette