IPR Intan
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli

KUALA LUMPUR – Pempengaruh media sosial yang tegar menegur dasar kerajaan terutama berkaitan ekonomi ‘Lim Sian See’ sekali lagi memohon Menteri Ekonomi Rafizi Ramli untuk mengundangnya sebagai tetamu podcast Yang Bakar Menteri (YBM).

Permintaan terbaharu itu disuarakan dalam ruangan komen Facebook Rafizi yang membuat hantaran berkaitan isu kejatuhan nilai ringgit.

“Untuk kali kedua YB Menteri, saya dengan amat rendah diri minta peluang untuk dijemput ke podcast YBM.

“Jika diizinkan, saya akan tampil dengan identiti sebenar saya untuk bertukar pandangan dengan YB,” katanya dalam ruangan komen yang sehingga kini mendapat tanda suka.

‘Lim Sian See’ kali pertama membuat permintaan itu kira-kira 12 hari lalu dalam satu hantaran di Facebook beliau.

Menurut pempengaruh media sosial yang pro dasar ekonomi bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu, Rafizi mengenali beliau dan pernah menulis artikel mengenai dirinya pada 7 Oktober 2017.

Dalam artikel bertajuk ‘Siapa Sotong Sekarang’, Rafizi percaya Eric See To yang merupakan bekas Timbalan Pengarah Komunikasi Strategik Bariasan Nasional adalah individu di sebalik nama ‘Lim Sian See’.

Sementara itu dalam hantaran terbaharu Rafizi, beliau mendakwa, kejatuhan ketara nilai ringgit bermula dalam tahun 2015 akibat kebimbangan pelabur dan pasaran ekoran isu 1MDB.

Menurut Ahli Parlimen Pandan tersebut, kejatuhan ringgit pada masa kini tidak sama dengan apa yang berlaku pada 2015.

“Kejatuhan ketara itu berlatar belakangkan skandal kewangan 1MDB dalam keadaan pasaran global tidak mengalami kelembapan ekonomi dunia dan ketidaktentuan di negara-negara kuasa ekonomi dunia seperti Amerika Syarikat dan China. Keadaannya berbeza sekarang.

“Dalam keadaan nilai ringgit tidak pernah pulih sepenuhnya dari kejatuhan ketara 2015, ringgit kini dipengaruhi pula oleh dasar monetari Amerika Syarikat (yang menyebabkan perbezaan kadar faedah kerana Malaysia menetapkan untuk tidak menaikkan kadar faedah) dan kelembapan ekonomi China.

“Sebab itu, usaha kerajaan mengukuhkan ringgit perlu mengambil kira langkah-langkah jangka masa pendek dan panjang,” katanya.

Bagaimanapun ‘Lim Sian See’ tidak bersetuju dengan pendapat Rafzi dan berkata, alasan ringgit melemah sekarang disebabkan 1MDB adalah satu pembohongan.

“Kesemua hutang 1MDB sudahpun selesai tanpa bayaran dari kerajaan. Perkara ini sudah pun diumum di Dewan Rakyat oleh Timbalan Menteri Kewangan pada bulan November 2023.

“Malah ada surplus berbilion-bilion dan baki nilai aset 1MDB seperti Bandar Malaysia, TRX dan tanah Pulau Pinang adalah sangat tinggi.

“Sekiranya ringgit lemah ialah akibat 1MDB maka nilai Ringgit tidak akan kukuh semula bermula 2017 dari RM4.40 banding dolar AS sehingga ke RM3.86 sebelum PRU14 pada Mei 2018. Benda logik macam ini pun dia tak faham? Kononnya tahun 2017 dan awal 2018 tidak ada isu 1MDB. Jadi, apakah punca-punca utama ringgit semakin lemah sekarang?” soal beliau.

Dalam hantarar terbabit, ‘Lim Sian See’ memberi enam punca mengapa ringgit semakin melemah.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. raja formula, ringgit menjunan teruk tiada formula ke? dulu bukan main lagi macam2 formula yang you ada. sekrang jadi kerajaan macam2 barang harga dah naik, cukai pun naik.

Comments are closed.