Muhammad Hafiz Ong dan isterinya Ser Ying mengaku bersalah atas pertuduhan Seksyen 506 Kanun Keseksaan di Mahkamah Majistret Bukit Mertajam hari ini.

BUKIT MERTAJAM – Pasangan suami isteri yang tular selepas bertindak menganggu serta menakutkan secara jenayah penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Hukuman itu ditetapkan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit selepas kedua-dua tertuduh Muhammad Hafiz Ong Abdullah, 50 dan isterinya, Ong Ser Ying, 37 mengaku bersalah atas tuduhan yang dibacakan terhadap mereka.

Nurul Rasyidah turut memerintahkan kedua-dua tertuduh penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Muhammad Hafiz Ong didakwa atas dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, suami isteri itu didakwa telah menakutkan dua lelaki secara jenayah ketika menunggang motosikal di Kilometer 2.8 Jambatan Pulau Pinang dari Pulau menghala Perai, kira-kira jam 5 petang pada 5 Februari lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Shakila Dahari manakala pasangan berkenaan tidak diwakili peguam.

Semasa prosiding, kedua-dua tertuduh mengangguk faham selepas jurubahasa membacakan pertuduhan terhadap mereka, selain tertuduh wanita berulang kali memohon maaf atas kesalahan dilakukannya.

Ser Ying memohon maaf kepada mahkamah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa.

Nor Shakila memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal susulan perbuatan mereka mendatangkan bahaya kepada orang awam.

Kedua-dua tertuduh yang juga peniaga makanan merayu hukuman denda minimum sebelum mahkamah menetapkan denda masing-masing RM2,500 dan sekiranya gagal bayar, penjara enam bulan.

Sementara itu, Muhammad Hafiz turut didakwa di mahkamah berasingan atas kesalahan trafik mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Media semalam melaporkan, sepasang suami isteri yang mengundang bahaya terhadap penunggang motosikal di atas Jambatan Pulau Pinang arah pusat bandar menghala Seberang Perai diberkas polis.

Tangkapan ke atas lelaki dan isterinya yang dipercayai pemegang kad Orang Kelainan Upaya (OKU) itu dilakukan di pusat bandar.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Helmi Aris berkata, tangkapan dibuat susulan tular video memaparkan pasangan itu membahayakan apabila  bertindak membaling sesuatu objek disyaki pasir serta cuba menendang pengguna motosikal yang ingin memotong motosikalnya. – MalaysiaGazette