TUGAS sebagai seorang pensyarah bukanlah mudah dengan hanya mengoyangkan kaki boleh mendapat gaji yang tinggi.
Memang betul masa bekerja pensyarah adalah fleksibel iaitu mereka perlu clock in untuk membuktikan mereka bertugas tanpa perlu untuk clock-out.
Namun itu bukan bermakna tempoh bertugas yang fleksibel boleh dijadikan dakwaan bahawa pensyarah mengabaikan tanggungjawab kepada pelajar dan universiti.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) Prof. Dr. Mohd Izani Mohd Zain berkata, pihak yang membuat tuduhan begitu tidak memahami tugas sebenar pensyarah.
Menurutnya, tugas pensyarah yang selayaknya digelar sebagai ahli akademik bukan semata-mata mengajar dan bersyarah serta berada seharian dalam bilik kuliah sahaja.
“Sebagai seorang ahli akademik dia ada peranan yang banyak dan besar. Termasuk membuat penyelidikan, mencipta ilmu baharu melalui penyelidikan dan menyampikan ilmu melalui pengajaran dan pembelajaran. Memindahkan ilmu melalui jaringan kepada industri dan komuniti.
“Ini tidak termasuk tugasan lain yang perlu dilunaskan seperti penerbitan dan perkhidmatan komuniti. Peranan dan fungsi ahli akademik semakin berkembang dan bertambah,” katanya.
Tambah beliau, sekiranya ada pihak yang melihat ahli akademik berada di kafe bersama seseorang, dia tidak boleh diandaikan sebagai melepak asalkan dia memahami integriti dan tangggungjawab.
Menurutnya, seperti yang pernah diungkapkan oleh Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid, seorang pensyarah perlu berada di mana-mana untuk mendapat ilham dan idea.
“Dia bukan kena duduk di pejabat sepanjang masa sebab mereka ini sentiasa bergerak, jumpa orang, membina jaringan dan mengadakan perbincangan ilmiah.
“Ini belum lagi ahli akademik yang dipanggil oleh agensi kerajaan dan pihak luar untuk mendapatkan perkhidmatan perundingan,” kata Mohd Izani.
Sementara itu Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Kimia dan Persekitaran, Fakulti Sains Gunaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Shahrul Nizam Ahmad berkata, mengajar hanya satu perlapan daripada tugas hakiki yang perlu mereka laksanakan.
Jelasnya, terdapat sekurang-kurangnya 10 tugas wajib pensyarah termasuk melakukan penyelidikan serta menerbitkannya dalam journal berimpak tinggi dan antarabangsa yang sudah tentu memerlukan masa.
“Kita juga kena buat penyeliaan terhadap pelajar tahun akhir ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan Ph.D. Bila saya kata penyelia ia termasuk melihat cadangan, memantau kemajuan penyelidikan dan cari bahan untuk kajian.
“Macam saya pensyarah kimia kena belikan bahan kimia dan bagi perbelanjaan ini kena dapatkan geran dan ia merupakan satu tugas lain yang dilakukan kami. Nak siapkan permohohan geran kepada pemberi dana pun macam buat tesis.
“Pemberi dana pula sentiasa beri syarat yang ketat. Mereka mahu melihat penyelidikan yang baharu yang memberi manfaat kepada masyarakat selain boleh dikomersialkan. Membuat permohonan juga mengambil masa,”katanya.
Pensyarah juga perlu menjadi penasihat akademik kepada beberapa orang mahasiswa.
Mereka juga kena buat kerjasama dengan agensi luar supaya penyelidikan yang dibuat boleh digunakan.
Pensyarah juga dikehendaki bergiat aktif dalam badan antarabangsa selain melakukan kerja-kerja pentadbiran seperti mengadakan seminar, bengkel dan persidangan.
“Setiap hujun tahun apa yang saya sebutkan ini akan dikira sebagai markah dan kalau tak buat menjejaskan merit dan tak ada kenaikan gaji. Tugas yang saya sebut ini bukan kerja tambahan tetapi kerja wajib yang akan dilakukan oleh semua pensyarah.
“Saya faham sebelum ini keluar isu di media seramai 30,000 pensyarah terbeban dan minta gaji yang tinggi. Dari segi beban kerja memang tugasnya banyak. Kalau seseorang tidak betul-betul berminat nak jadi pensyarah mereka perlu faham ia lebih daripada sekadar mengajar,” katanya.
Justeru menurut Shahrul Nizam, bukan mudah untuk melihat pensyarah melepak di cafe hanya untuk bersantai dan releks. Malah ada yang bertugas sehingga ke lewat malam.
Dalam pada itu Prof. Madya Ir Dr Nahrizul Adib Kadri dari Fakulti Kejuruteraan, Universiti Malaya berkata, adalah tidak adil untuk membandingkan gaji Gred 51 yang diterima oleh pensyarah baharu dengan Gred 41 yang diterima oleh guru baharu.
Menurutnya, mereka yang menjadi pensyarah memerlukan kelayakan yang tinggi dan tempoh pengajian yang lama iaitu ijazah sarjana muda, ijazah sarjana dan Ph.D.
Sebelum ini MalaysiaGazette menyiarkan surat pembaca yang mendakwa kerjaya pensyarah paling relaks dan bergaji tinggi.
Dr Yusof Abdullah dari ‘Universiti di utara’ mendakwa, beliau hanya perlu hadir ke universiti untuk clock-in dan boleh menghilang diri ke mana sahaja jika tiada kelas untuk mengajar kerana universiti membenarkan untuk tidak perlu clock-out.
Beliau juga membandingankan gaji Gred 51 yang diterima pensyarah baharu sedangkan guru bermula dengan gred 41 dan akan mendapat Gred 51 hanya selepas bekerja hampir 20 tahun.-MalaysiaGazette