Oleh: Rusli Abdul Roni
ISRAK Mikraj adalah suatu peristiwa monumental dalam perjalanan kerasulan dan kerohanian Baginda Nabi Muhammad SAW. Peristiwa agung yang mencatatkan Rasulullah SAW diperjalankan dari Masjidil Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin (Surah al-Isra’: 1), dan terus naik
merentasi tujuh lapisan langit ke Sidratul Muntaha (HR Muslim). Perjalanan ini bukan hanya sekadar fizikal, tetapi juga melibatkan perjalanan spiritual yang membuka pintu pengalaman luar biasa di dunia langit kekuasaan Allah SWT. Melalui peristiwa mikraj tersebut, Nabi menerima perintah solat, sebagai simbolik yang betapa pentingnya ibadah dalam membangunkan hubungan yang lebih dekat dengan Sang Pencipta. Bahkan ibadah solat telah dianggap bagaikan jambatan yang menghubungkan bumi dengan langit. Sehingga solat digelar sebagai Mikraj setiap insan. Sejarah Israk Mikraj menjadi pijakan bagi misi kenabian, mengukuhkan kedudukan Rasulullah sebagai utusan Allah SWT.
Mukjizat agung yang menyertai Israk Mikraj adalah penegasan kekuasaan dan kebesaran Allah SWT secara langsung. Pertemuan Nabi Muhammad SAW dengan para nabi di langit memperlihatkan bahawa misi kenabian Baginda adalah kelanjutan dari ajaran-ajaran ilahi kepada nabi-nabi dan rasul-rasul sebelumnya. Perintah solat lima waktu sebagai bahagian integral dan sakral dari perjalanan ini menegaskan pentingnya ibadah sebagai asas kehidupan umat Islam, membimbing mereka ke arah yang benar dan hidup yang bermakna.
Mikraj membuka pintu kepada dimensi spiritualiti yang sangat mendalam. Perjalanan Nabi Muhammad SAW ke tujuh lapis langit bukan hanya perjalanan fizikal, melainkan juga perjalanan batiniah yang menggambarkan keagungan dan kemuliaan-Nya. Melalui peristiwa ini, umat Islam diajak untuk merenungkan kedekatan hubungan mereka dengan Allah, menjelajahi kedalaman spiritualiti dan memahami tanggungjawab moral dalam kehidupan sehari-hari. Oleh itu, melalui sempena peristiwa Israk Mikraj yang kita sambut setiap tahun, diharapkan akan menambah pemahaman yang lebih mendalam tentang tafsir dan makna spiritual Israk Mikraj yang unik dan penuh pesan. Program yang dijalankan berkaitan sambutan Israk Mikraj tersebut juga akan membantu umat Islam dan manusia umumnya untuk menggali kebijaksanaan dan rahsia yang tersembunyi di sebalik setiap langkah, moment perjalanan spiritual, bukti kenabian ini.
Justeru, doa yang diajarkan selama Israk Mikraj bukan sekadar rangkaian kata-kata, tetapi merupakan petunjuk hidup yang membimbing umat Islam dalam kebaikan, kesejahteraan, dan keadilan. Nabi Muhammad SAW, dalam kemuliaannya, telah menyampaikan kepada kita umatnya ajaran tentang etika, keadilan, dan kasih sayang. Doa-doa ini menjadi panduan untuk mencari petunjuk Allah dalam setiap langkah hidup, membentuk karakter moral yang positif dan mulia. Walaupun Israk Mikraj memiliki dimensi kerohanian yang kuat, beberapa ahli ilmu mencuba mengaitkannya dengan perspektif ilmiah.
Kesihatan mental juga menjadi fokus, menunjukkan bahawa pengalaman spiritual dapat memberikan ketenangan fikiran dan ketenteraman jiwa dan hati. Keseimbangan antara kebijaksanaan ilmiah dan rohaniah dapat menjadi asas untuk pemahaman yang lebih utuh tentang peristiwa Israk Mikraj. Melalui perspektif ilmiah, kita dapat mengeksplorasi bagaimana pengalaman spiritual ini memberikan impak positif pada kesihatan mental dan keberlangsungan hidup sehari-hari, membuka ruang untuk integrasi yang harmoni antara ilmu dan spiritualiti serta realiti kehidupan nyata.
Adalah penting bagi kita mengenang, memperingati, dan merayakan peristiwa mukjizat mulia ini setiap tahun. Memahami dan mengingati Israk Mikraj bukan sahaja aktiviti intelektual, apatah lagi hanya upacara belaka, tetapi juga menyelami pengalaman yang mendalam. Ia merupakan peluang untuk merenung dan memahami semula makna kerohanian, spiritualiti insan, membantu menguatkan iman seseorang individu.
Membawa kehadiran Allah SWT ke dalam setiap aspek kehidupan dan menyerlahkan sejarah dan pesan iman dalam peristiwa Israk Mikraj ini juga menjadi sumber inspirasi yang membantu umat Islam menghadapi pancaroba kehidupan seharian yang semakin mencabar. Menghadapi ancaman ideologi-ideologi songsang masa kini yang membimbangkan umat Islam. Tentunya, ia juga boleh menjadi medium mencapai ketenangan dalaman dan jiwa berdasarkan ketakwaan dan iman yang teguh.
Malahan, peristiwa Israk dan Mikraj ini juga memberi isyarat yang jelas akan betapa pentingnya kiblat pertama umat Islam iaitu masjid al-Aqsa dan bumi suci Palestin kepada kita umat Islam khasnya dan manusia amnya. Di mana Allah pilih dan takdirkan di seluas hamparan bumi dan lautan dunia ini, Baitulmaqdis sebagai hentian Israk, dan tapak mula Mikraj baginda Nabi SAW ke Sidratul Muntaha, serta pendaratan tiba syariat solat lima waktu anugerah terindah dari Allah kepada manusia di bumi. Israk Mikraj ini juga menyimpan pesan sosial, tanggungjawab, solidariti umat manusia, Muslim khas terhadap nasib tanah barakah Palestin kini yang menyayat hati.
Maha benar Allah adalah Tuhan yang telah menghadiahkan mukjizat Israk dan Mikraj bukti kenabian dan kerasulan yang hebat ke atas kekasih mulia-Nya Baginda Nabi Muhammad SAW. Sebagaimana Firman Allah di dalam Surah Al-Isra’ ayat 1: “Maha Suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari, dari Masjidil Haram (di Mekah) ke Masjid al-Aqsa (di Palestin), yang kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui” (Surah al-Isra’:1)
Penulis merupakan Pensyarah Jabatan Sains Sosial dan Kemanusiaan, Kolej Pendidikan Berterusan (CCEd), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN)