Siti Nurshuhaini Azman

KUALA LUMPUR – Latihan pemain perseorangan wanita negara dimantapkan dengan khidmat tiga pemain perseorangan lelaki Myanmar menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Setia Alam bermula Selasa depan.

Mereka ialah Hein Htut, 18; Zaw Lin Htoo, 20, dan Nyon Shaine Lin, 15, yang bertindak sebagai rakan sepelatih kepada Goh Jin Wei, K.Letshanaa, Siti Nurshuhaini Azman dan Ling Ching.

Menurut Siti Nurshuhaini kaedah latihan itu dapat membantu meningkatkan gaya permainannya.

“Saya rasa seronok sebab dapat sparring dengan pemain berlainan jantina, dekat situ kita dapat belajar perkara baharu…sebelum ini kita berlatih dengan pemain-pemain wanita negara sahaja.

“Malah kami tengok cara mereka (pemain Myanmar) bermain ini juga lebih kurang dengan lawan yang kita akan jumpa dekat BATC nanti dan harap ia boleh bantu saya dan pemain-pemain Malaysia yang lain,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia Bukit Kiara di sini.

Dalam pada itu Siti Nurshuhaini berkata persiapan skuad wanita negara secara keseluruhannya berjalan lancar setakat ini.

“Harapan saya dan pasukan sudah tentu kalau boleh kita nak memperbaiki keputusan edisi lalu,” katanya.

Skuad negara yang menamatkan saingan edisi lepas di tempat ketiga, diundi dalam kumpulan Y bersama-sama Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Selain barisan pemain perseorangan, cabaran pasukan wanita negara bagi BATC kali ini turut digalas pasangan beregu Pearly Tan-M Thinaah, Go Pei Kee-Low Yeen Yuan dan Mei Xing-Tan Zhing Yi. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast