SEPANG – Sejarah buat syarikat penerbangan Batik Air yang telah melancarkan laluan terbaharu mereka, Kuala Lumpur – Istanbul semalam dari Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Istanbul, Turkiye.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing sendiri hadir hari ini bagi menyambut kedatangan para penumpang bersama-sama Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) serta warga Batik Air.
Memandangkan hari ini juga merupakan hari pertama sambutan Tahun Baharu Cina, warga penumpang dan hadirin turut disajikan dengan acara seperti menggaul Yee Sang selain tarian naga.
Penerbangan pertama 0D724 yang tiba sekitar pukul 3.55 petang juga mendapat sambutan istimewa persembahan salut air selain pemberian cenderamata daripada MOTAC sebagai tanda penghargaan Malaysia.
Difahamkan, sejak Januari hingga November 2023, Malaysia menyambut 15,623 kedatangan penumpang dari Turkiye, pertumbuhan positif sebanyak 10.8 peratus berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun 2019 dengan 14,096 kedatangan.
Kata King Sing, Tourism Malaysia bertekad untuk membina lebih banyak kerjasama pintar dan kolaborasi dengan syarikat penerbangan antarabangsa untuk mencipta lebih banyak permintaan perjalanan dari Turkiye.
Dalam pada itu, menurut Pengarah Strategi Kumpulan Batik Air, Datuk Chandran Rama Muthy, pihaknya gembira dengan penerbangan pertama ke Istanbul yang beroperasi dengan kapasiti penuh.
“Perjalanan ini tidak hanya mengukuhkan hubungan antara Malaysia dan Turkiye tetapi juga menandakan tonggak penting dalam perjalanan Batik Air untuk menghubungkan orang dan budaya merentas sempadan.
“Dengan pengenalan laluan baru ini, kami bangga dapat menyediakan penumpang kami dengan lebih banyak pilihan untuk perjalanan yang mudah antara Kuala Lumpur dan Istanbul dan kami sangat menantikan untuk menyambut lebih ramai pelancong,” ujarnya.
Untuk makluman, penerbangan oleh Batik Air akan beroperasi empat kali seminggu dan berlepas setiap Isnin, Rabu, Jumaat, dan Ahad pada pukul 3.50 petang dan tiba di Sabiha Gokcen pukul 10:45 malam (waktu tempatan).
Manakala penerbangan pulang beroperasi pada hari Isnin, Selasa, Khamis, dan Sabtu berlepas pukul 12:05 pagi (waktu tempatan) dan tiba di KLIA pukul 3.55 petang.
Ini merupakan penerbangan terpanjang yang dioperasikan oleh Batik Air ke persimpangan Asia dan Eropah dengan pesawat A330-300 dengan hampir 12 jam. -MalaysiaGazette