IPOH – Seorang wanita pegawai keajaan terpaksa berputih mata selepas mengalami kerugian RM168,400 ekoran menjadi mangsa penipuan dalam talian atau phone scam semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, mangsa yang berusia 45 tahun dan berasal dari Taman Tawas Gemilang itu membuat laporan polis selepas mendakwa ditipu pihak yang menyamar sebagai pegawai farmasi dan polis.
Katanya, berdasarkan laporan berkenaan, wanita terbabit menerima panggilan telefon daripada individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai farmasi ketika berada di rumahnya pada 5 Januari lalu.
Yahaya berkata, individu berkenaan mendakwa pengadu telah mengambil beberapa ubat terkawal dari Hospital Georgetown di Pulau Pinang.
“Mangsa menafikan (dakwaan berkenaan) dan diminta (oleh individu tidak dikenali itu) untuk membuat laporan polis.
“Kemudian, panggilan mangsa kononnya telah disambungkan kepada (individu yang mendakwa sebagai) ‘pegawai polis’ yang kononnya dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
“Mangsa dikatakan mempunyai rekod terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Yahaya, bagi meyakinkan mangsa, suspek kedua kemudian memperkenalkan diri sebagai pegawai polis dari Bukit Aman dan mengarahkan mangsa untuk mengikuti arahannya.
Kata beliau, wanita itu yang dalam ketakutan bertindak mengikut arahan suspek dengan menghantar gambar kad pengenalannya kepada suspek.
“Suspek juga telah memberikan satu surat bertulis ‘Polis Diraja Malaysia’ yang mengandungi butiran mangsa yang kononnya disyaki terlibat dengan kes penyeludupan dadah dan pengubahan wang haram serta waran tangkap ke atas mangsa.
“Mangsa telah membuat pengeluaran dana daripada akaun simpanan peribadi mangsa berjumlah RM168,400 untuk dimasukkan ke dalam lima akaun bank yang berbeza milik suspek,” ujarnya.
Menurut beliau, wanita itu kemudian menyedari dirinya telah ditulis dan membuat laporan polis.
Ujar Yahaya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette