JASIN – Sebutir bom mortar ditemui di belakang rumah penduduk di Kampung Tersusun Serkam Darat, Merlimau di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintendan Ahmad Jamil Radzi berkata, bom yang digunakan dalam latihan itu ditemui seorang tukang kebun kira-kira pukul 9.15 pagi.
“Sebelum itu, pengadu berusia 40 tahun dihubungi isterinya memaklumkan tukang kebun mereka menjumpai objek disyaki bom ketika sedang membersihkan belakang rumah mereka.
“Pengadu yang ketika itu sedang bekerja kemudian baik ke rumah dan segera membuat laporan polis selepas mendapati ia adalah sebutir bom,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, selepas menerima makluman, pemeriksaan sepasukan polis dari Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka mendapati ia adalah bom jenis Unexploded Ordnance (UXO) Mortar 60mm Practice Inert.
“Bom bewarna putih dan sedikit karat itu bagaimanapun tidak boleh meletup dan hanya digunakan dalam latihan.
“Pasukan UPB membawa pulang bom berkenaan ke pengkalan bagi tindakan selanjutnya,” katanya. – MalaysiaGazette