Tun Abdul Hamid Mohamad

PADA 4 Februari 2024, saya telah memuatnaikkan rencana bertajuk “Pengampunan DS Najib: Lembaga Pengampunan Patut Beri Alasan” berdasarkan Kenyataan Media bertarikh 2 Februari 2024 yang dikeluarkan oleh Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri.

Pada 7 Februari 2024, saya terdengar persidangan akhbar TS Shafee, peguam DS Najib melalui Youtube. Beliau membaca satu dokumen yang mengikutnya ditandatangani oleh Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan juga DYMM SPB Yang di-Pertuan Agong (YDPA) yang ke-16 dan cop mohor Baginda.

Dalam rencana ini saya merujuk kepada Kenyataan Media itu sebagai dokumen pertama dan surat yang dibaca oleh TS Shafee itu sebagai dokumen kedua. Dokumen pertama, antara lain, mengatakan:

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya kali ke-61 telah memutuskan hukuman ke atas YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar. Oleh yang demikian, YBhg. Dato’ Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak dipersetujui untuk dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00.”

Daripada perenggan ini dapat difahamkan: bahawa keputusan untuk mengurangkan hukuman dan denda ke atas DS Najib itu adalah keputusan lembaga itu. Kedua, terdapat kesilapan pengiran baki denda yang kena dibayar oleh DS Najib setelah “pengurangan 50 peratus bagi hukuman dan denda yang perlu dibayar.” Kenyataan itu seterusnya berkata “Oleh yang demikian…denda yang perlu dibayar iaitu sebanyak RM210,000,000.00 dikurangkan kepada RM50,000,000.00.”

Adalah nyata 50% daripada RM210,000.00 adalah RM105,000,000.00 bukan RM50,000,000.00. Bagaimana kesalahan seperti itu pada dokumen yang begitu penting boleh berlaku sukar difahami. Urusetia itu adalah sebahagian daripada Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri. Takkanlah pegawai undang-undang yang menyediakan dokumen semudah itu tidak faham makna “dan” dan tidak tahu mengira berapakah 50% daripada RM210,000,000.00.

Juga tidakkah Menteri berkenaan yang menghadiri mesyuarat lembaga itu tidak nampak kesilapan itu atau beliau tidak membacanya, sebelum meluluskannya. Kedua-dua mereka patut dipertanggungjawabkan

Kedua, perhatikan ayat ini:

“Setelah menimbangkan pendapat dan nasihat, Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan…telah memutuskan…”

Ertinya, keputusan mengurangkan hukuman dan denda kepada DS Najib itu adalah keputusan lembaga itu yang dipengerusikan oleh YDPA, yang bererti ahli-ahli lembaga itu dan YDPA bersetuju dengannya. Tunggu lihat apa yang dikatakan oleh dokumen kedua.

Dokumen kedua ditandatangani oleh Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan). Dikembarkan kepada dokumen itu adalah satu muka surat berasingan tidak bernombor dan tidak bertarikh. Ia bertajuk Perintah Pembebasan Awal dan mengandungi cop mohor YDPA dan tandatangan Baginda dan perkataan “Kepada Ketua Pengarah Penjara Malaysia dan Sekalian Yang Menerima Surat Ini.” Saya fikir ia adalah muka surat pertama kepada dokumen itu.

Dokumen ini, antara lain, mengatakan:

“Lembaga Pengampunan….pada 29 Januari 2024 menimbang hukuman banduan telah menasihatkan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong supaya banduan Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak meneruskan baki hukuman.”

Ia diikuti selepas itu, di muka surat yang sama, dengan:

“Bahawasanya adalah munasabah, pada hemat beta, belas kasihan patut diberi kepada Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak. Maka oleh yang demikian beta …, pada menjalankan kuasa yang terletak pada beta… dengan ini memerintahkan bahawa Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Haji Abdul Razak dibebaskan pada tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028 dan denda dikurangkan kepada RM50,000,000.00….beta telah menurunkan tandatangan dan cop mohor beta pada 29 Januari 2024.”

Dokumen itu diakhiri dengan perkataan “Dengan Titah Perintah Baginda” diikuti dengan tandatangan Dr. Zaliha Mustafa, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan).

Dokumen ini juga memeningkan. Pertama, dalam satu dokumen terdapat dua orang yang bercakap dan dua orang yang menandatanganinya, Menteri dan YDPA. Di bahagian pertama, ia nampak seperti Menteri membuat kenyataan mengenai pengampunan DS Najib.

Selepas itu, YDPA pula bertitah yang diakhiri dengan “PADA MENYAKSIKAN YANG TERSEBUT DI ATAS beta telah menurunkan tandatangan dan cop mohor beta pada 29 Januari 2024.” Tetapi, Baginda tidak menurunkan tandatangan Baginda di muka surat itu. Yang menurunkan tandatangannya adalah Menteri selepas perkataan “Dengan Titah Perintah Baginda”. Dokumen itu pula tidak bertarikh. Tandatangan dan cop mohor YDPA dibuat pada sekeping kertas berasingan yang juga tidak bertarikh.

Dalam keadaan ini, kita tidak tahu bilakah dokumen yang ditandatangani Menteri itu dan dikatakan ditandatangani YDPA itu dibuat. Tandatangan Menteri tidak bertarikh. Tandatangan YDPA diturunkan atas sekeping kertas berasingan tidak bermuka surat dan juga tidak bertarikh. Tandatangan Baginda sepatutnya terletak di muka surat 4 bersama-sama tandatangan Menteri. Jika dibuat demikian pun pelik juga. Ini bukan surat bersama yang kedua-dua orang mengatakan atau mengesahkan perkara yang sama. Ini surat dua orang yang masing-masing berkata perkara yang berlainan.

Saya tidak pernah lihat satu dokumen yang begitu penting dibuat sedemikian cara. Jika mengikut tajuk pada kertas tidak bernombor di mana terdapat tandatangan YDPA, ia adalah Perintah Pembebasan Awal daripada YDPA. Jika demikian, ia sepatutnya menggunakan kepala surat Istana Negara. Ia tidak boleh dicampur aduk dengan kenyataan Menteri. Baginda seorang sahaja yang patut menandatanganinya. Menumpang surat orang lain yang menggunakan kertas taip adalah satu penghinaan kepada Baginda. Tiada siapa pernah berbuat demikian. Ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri pula yang melakukannya. Saya tidak fikir perkara seperti itu pernah berlaku dalam sejarah Malaysia. Pegawai dan Menteri berkenaan patut dipertanngunjawabkan

Ingat kembali, mengikut dokumen pertama keputusan mengurangkan hukuman dan denda kepada DS Najib itu adalah keputusan lembaga itu yang dipengerusikan oleh YDPA, yang bererti ahli-ahli lembaga itu dan YDPA bersetuju dengannya.

Apa yang dikatakan oleh dokumen kedua?

“Lembaga Pengampunan….telah menasihatkan YDPA supaya banduan Dato’ Sri Mohd Najib …. meneruskan baki hukuman.”

Tetapi, Baginda berpendapat “…. adalah munasabah, pada hemat beta, belas kasihan patut diberi kepada…. ” DS Najib. Maka Baginda memerintahkan hukuman dan denda dikurangkan. Ertinya Baginda tidak menurut nasihat lembaga itu. Ini selaras dengan pendapat Baginda tidak terikat dengan nasihat Lembaga Penasihat. Mahkamah kita pun memutuskan demikian.

Ertinya, terdapat perbezaan besar di antara apa dinyatakan oleh dua dokumen itu. Dokumen pertama mengatakan lembaga dan YDPA sekata untuk mengurangkan hukuman dan denda DS Najib. Dokumen kedua mengatakan lembaga menasihat Baginda bahawa DS Najib hendaklah meneruskan baki hukuman, ertinya DS Najib tidak diberi pengurangan. Tetapi, Baginda tidak menurut nasihat itu dan memberi pengurangan atas dasar belas kasihan.

Apa yang menghairankan ialah, jika apa yang dikatakan dalam dokumen kedua itu adalah apa yang sebenarnya berlaku dalam mesyuarat lembaga itu, bagaimana pegawai undang-undang di jabatan itu boleh tidak tahu perbezaannya dan menggubal dokumen pertama seperti itu? Adakah beliau tidak hadir dalam mesyuarat itu? Menteri berkenaan memang hadir. Tidakkah beliau tahu apa yang sebenarnya berlaku? Tidakkah beliau tahu perbezaan di antara keduanya? Tidakkah beliau nampak apa makna dan kesan apa yang dikatakan oleh dokumen pertama itu? Atau beliau tidak membacanya?

Saya lebih percaya bahawa dokumen kedua dikeluarkan untuk membetulkan dokumen pertama setelah orang ramai menyalahkan kerajaan kerana pemberian pengampunan itu. Mereka menuduh kerajaan memain peranan di dalamnya. Tuduhan itu tidak adil kepada Kerajaan, terutama sekali kepada Perdana Menteri, jika ia tidak betul. Saya lebih percaya apa yang disebut dalam dokumen kedua adalah apa yang berlaku dalam mesyuarat itu. Jika tidak, tidakkah YDPA membacanya sebelum menurunkan tandatangan Baginda atau Baginda sanggup berbohong? Saya tidak fikir demikian.

Satu perkara lagi yang memeningkan ialah dokumen pertama menyebut pengurangan 50% hukuman penjara dan menetapkan tarikh pembebasan awal iaitu pada 23 Ogos 2028. Dokumen kedua pula tidak menyebut pengurangan hukuman penjara sebanyak 50% tetepi terus menetapkan tarikh pembebasan awal yang sama, iaitu pada 23 Ogos 2028.

Penetapan tarikh pembebasan awal itu telah menimbulkan perbalahan sama ada ia boleh dikurangkan oleh Ketua Pengarah Penjara menurut undang-undang dan peraturan penjara. Saya percaya tarikh itu dikira oleh pegawai yang menggubal surat itu, bukan oleh Lembaga Pengampunan dalam dokumen pertama dan oleh YDPA dalam dokumen kedua. Saya percaya apa yang dipersetujui seperti disebut dalam dokumen pertama dan apa yang dititahkan oleh YDPA menurut dokumen kedua ialah DS Najib diberi pengurangan hukuman penjara sebanyak 50%.

Mengapa tidak menyebut demikian dan biarkan pihak penjara mengira dan menetapkan tarikh pembebasannya, mengambil kira perintah itu dan lain-lain kelayakan beliau mengikut undang-undang dan peraturan penjara. Mereka lebih arif dalam halam hal itu. Mahkamah pun tidak menetapkan tarikh pembebasan. Seperti dalam kes ini, Mahkamah Persekutuan hanya memerintahkan hukuman penjara DS Najib berjalan “mulai daripada Keputusan Mahkamah Persekutuan iaitu pada 22 Ogos 2022.”

Malangnya, sudahlah dokumen pertama mempunyai kesilapan-kesilapan material, dokumen kedua pula memalukan Kerajaan dan merupakan satu penghinaan terhadap YDPA. Menteri berkenaan bertanggungjawab ke atasnya. Beliau tidak boleh menolak tanggungjawab itu kepada pegawainya semata-mata.

— TUN ABDUL HAMID Mohamad merupakan mantan Ketua Hakim Negara

11 Februari 2024.

[email protected]
http://www.tunabdulhamid.my
https://tunabdulhamid.me