Polis TRafik IPD Ampang Jaya dalam operasi Op Mabuk sempena Op Selamat 21 TBC 2024 di Pandan Indah malam tadi.Ihsan IPD Ampang Jaya.

KUALA LUMPUR – Dua individu termasuk seorang lelaki warga asing ditahan selepas didapati memandu kenderaan dalam keadaan mabuk di Pandan Indah, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, mereka ditahan semasa pemeriksaan polis Op Selamat 21 sempena Sambutan Tahun Baharu Cina 2024 di sekitar Ampang Jaya.

Katanya, operasi dilaksanakan antara jam 9 malam hingga 11 malam di Jalan Pandan Utama, Pandan Indah, di sini, oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya dengan tema ‘Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi’.

“Hasil daripada operasi yang dijalankan, seramai dua individu lelaki telah ditahan iaitu di mana salah seorang dari individu berkenaan adalah warga asing.

“Kedua individu yang ditahan ini adalah berumur di antara 55 hingga 65 tahun dan mereka ditahan atas kesalahan memandu kenderaan bermotor dengan kepekatan alkohol melebihi had yang ditetapkan mengikut peruntukan seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalanraya 1987,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, kedua-dua tangkapan bersama kenderaan mereka telah dibawa balik ke Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

Menurut Mohd Azam, mereka kemudian dilibatkan dalam ujian nafas dengan menggunakan alat Evidential Breath Analyzer II (EBA II) dan hasilnya mendapati tahap kandungan alkohol dalam darah individu yang ditahan melebihi had yang ditetapkan iaitu sebanyak 50/100mililiter.

“Individu yang didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen ini boleh dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun dan denda tidak kurang daripada RM 10,000 dan tidak lebih daripada RM 30,000.

“Selain itu, lesen memandu akan digantung selama tempoh tidak melebihi dua tahun jika disabitkan kesalahannya,” katanya. -MalaysiaGazette