KUALA LUMPUR: Isu penyalahgunaan kertas undi merupakan antara isu utama yang diberi perhatian Kedutaan Besar Indonesia (KBRI) di sini pada pengundian awal pada Pilihan Raya Umum (Pemilu) dan Pilihan Raya Presiden (Pilpres) 2024 hari ini.
Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Hermono berkata, ia perlu dilakukan bagi memastikan kontroversi yang tercetus pada Pemilu 2019 tidak berulang.
Hermono berkata, pihaknya mahu mengurangkan penyalahgunaan kertas undi daripada pihak yang tidak berkepentingan agar proses memilih kepimpinan baharu Indonesia bersih dan berjalan lancar.
“Bagi proses undi awal di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), sejak pagi ini kita menjangkakan kira-kira 20 peratus pemilih yang berdaftar di sini (Malaysia) akan keluar menunaikan tanggungjawab demokrasi mereka hari ini,” katanya kepada pemberita.
Sebanyak 233 bilik pengundian disediakan di WTCKL bagi melancarkan proses pemilihan hari ini dan seramai 222,945 rakyat Indonesia yang menetap di Malaysia berdaftar sebagai pemilih.
Selain WTCKL, proses mengundi awal Pemilu dan Pilpres diadakan di Pulau Pinang dengan 5,375 pengundi berdaftar disusuli Johor Bahru (2,684 pengundi), Kota Kinabalu (2,811 pengundi), Tawau (20,247 pengundi) dan Kuching (2,988 penguendi).
Persaingan pemilihan Presiden menyaksikan bekas pegawai tentera, Prabowo Subianto; bekas Gabenor Jawa Tengah, Ganjar Pranowo dan bekas Gabenor Jakarta, Anies Baswedan bertanding merebut jawatan tersebut.
Menurut Hermono, persiapan rapi telah dilaksanakan pihaknya untuk memastikan pemilihan berjalan lancar.
“Saya melihat semangat yang ditunjukkan pemilih kali ini untuk pemilihan Pemilu dan Pilpres 2024 cukup tinggi dan saya juga mendapati petugas juga cukup bersemangat untuk melaksanakan proses pemilihan ini.
“Maka adalah menjadi harapan saya supaya pemilihan ini berjalan dengan lancar dan tertib,” ujarnya. – MalaysiaGazette.