KUALA LUMPUR – Kuching City mengumumkan Shamie Iszuan sebagai pemain baharu bagi musim 2024/25 untuk membantu bahagian serangan dengan peranannya sebagai sayap kanan pada musim depan.
Pengumuman itu dibuat di Facebook The Cats mengenai kepulangan Shamie ke negeri asalnya itu.
Dia sebelum ini beraksi bersama Sri Pahang dan pemain berusia 28 tahun berkenaan antara wajah utama bagi skuad Piala AFF 2022.
Namun pada Januari tahun lalu, Shamie memilih untuk tidak kekal bersama skuad Tok Gajah selepas hanya tampil dalam 13 perlawanan bersama skuad kendalian Fandi Ahmad kerana banyak menghabiskan masa di bangku simpanan.
Sebelum ini, pengendali Kuching City, Aidil Sharin Sahak mengambil keputusan untuk menandatangani bekas pemainnya di Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rodney Calvin bagi mengisi pertahanan tengah pasukan kendaliannya. – MalaysiaGazette