Gambar hiasan

GEORGE TOWN – Seorang wanita warga emas melecur di bahagian tangan selepas dapur di rumahnya terbakar dalam kejadian di sebuah kondominium di Jalan Midland, di sini hari ini.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata, mangsa, Tan Hong Keok @ Tan Moy Hong, 79, telah dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan lanjut.

Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 8.40 pagi sebelum jentera Balai Bomba dan Penyelamat Bagan Jermal dihantar ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati ruang dapur sebuah rumah di kondominium itu terbakar dan seorang penghuni iaitu wanita warga emas mengalami kecederaan melecur di tangan dan telah diselamatkan sebelum dihantar ke hospital oleh ambulans.

“Pihak bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak dalam rumah itu dan api berjaya dipadamkan sepenuhnya kira-kira setengah jam kemudian,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – BERNAMA