Malaysia memiliki lima buah universiti terbaik di Asia di belakang Jepun, Korea Selatan dan China. (Sumber QS University Rankings 2021 & Landgeist) https://landgeist.com/2021/01/02/asias-highest-ranking-universities/

SAYA merujuk artikel yang ditulis oleh Dr. Yusof Abdullah berjudul “Kerjaya Pensyarah Paling Relaks, Gaji Tinggi?” diterbitkan pada 8 Februari 2024 di Malaysia Gazette. Menurut penulisannya, beliau berkhidmat sebagai seorang pensyarah di ‘universiti di utara’ yang tidak saya pasti yang mana satu hendaknya. Terdapat banyak universiti awam dan swasta di kawasan Semenanjung bahagian utara. Sebagai seorang pensyarah yang berkhidmat sebagai Profesor Madya di Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan, saya berharap masyarakat tidak tersalah faham dengan apa yang ditulis oleh Dr. Yusof.

Pertama sekali, memang benar pensyarah boleh ‘clock-in’ atau daftar masuk di kampus dan kemudian menghilang entah ke mana sekiranya tidak ada kuliah atau mesyuarat di pejabat. Banyak pensyarah yang hilang entah ke mana bukan untuk mengelat, tapi untuk melakukan kerja-kerja penyelidikan, penulisan, jaringan akademik dan komuniti, serta memenuhi undangan memberikan syarahan di agensi kerajaan, swasta, media atau organisasi dalam dan luar negara.

Sebagai seorang ahli akademik yang memiliki PhD, saya percaya Dr. Yusof tahu bahawa bukan mudah untuk menulis dan menjalankan penyelidikan kerana ianya memerlukan ketenangan fikiran, fokus yang tidak berbelah bahagi serta tempat kerja yang sesuai. Sekiranya seseorang pensyarah itu merasakan tidak sesuai menulis di kampus, pilihan boleh dibuat oleh ahli akademik tersebut untuk berada di rumah, di hotel, di kedai kopi atau di mana-mana sahaja. Asalkan kerja penulisan siap dan diterbitkan sebagai penerbitan terbaik dan berkualiti – itulah dambaan semua ahli akademik.

Kalau Dr. Yusof mengatakan dalam artikel yang ditulis bahawa beliau berada di kedai kopi untuk melepak, percayalah bahawa ahli akademik yang lain berada di kedai kopi untuk menulis, membuat penyelidikan, bertemu rakan kongsi akademik ataupun industri atau untuk mendapatkan ilham, bukan untuk membuang masa semata. Saya tahu kerana saya tidak ke kedai kopi sekadar melepak sewaktu jam bekerja. Malah, pada hujung minggu pun banyak pensyarah masih menggunakan waktu senggang untuk menulis.

Memang betul, pekerjaan sebagai seorang pensyarah memiliki kemewahan waktu dan jadual yang fleksibel tapi itu tidak bermakna seseorang itu boleh curi tulang. Kalau seseorang pensyarah itu malas, dia boleh memilih untuk curi tulang, tetapi percayalah majoriti pensyarah tidak begitu. Kalau tidak, masakan universiti-universiti di Malaysia diiktiraf kedua terbaik di Asia Tenggara dan antara terbaik di Asia.

Apa justifikasi penulis seolah-olah menggambarkan majoriti pensyarah sebagai ‘pemalas’? Adakah kayu ukur itu dibuat berdasarkan pengalamannya sendiri atau pensyarah-pensyarah yang berkhidmat di universiti di utara Malaysia itu?

Saya dengan yakin membuat pengakuan bahawa majoriti pensyarah di USIM ataupun di universiti-universiti di Lembah Klang tidak sebegitu dan menggunakan waktu yang ada sebaiknya. Malah saya dan rakan-rakan di FSU bekerja keras dengan menganjurkan pelbagai program penyelidikan, kerja-kerja penulisan, seminar/webinaar serta kursus pendek edu-pelancongan yang dijenamakan sebagai ‘ASEAN Classroom’ untuk mengharumkan nama USIM di rantau ini dan mata dunia.

Mohd Hazmi Mohd Rusli
Profesor Madya,
Fakulti Syariah dan Undang-undang,
Universiti Sains Islam Malaysia

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast