Gambar menunjukkan lokasi kejadian ragut rantai emas leher seorang wanita warga emas yang cedera patah tangan kanan dalam insiden di Ampang 10 Februari lalu.-Ihsan IPD Ampang

AMPANG – Seorang wanita warga emas telah melalui detik menakutkan apabila diragut dalam kejadian 10 Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, kejadianĀ  berlaku di hadapan restoran di Taman Muda, dekat sini.

Menurutnya, semasa kejadian mangsa wanita tempatan berusia 72 tahun sedang berjalan untuk ke kedai membeli barang keperluan.

“Tiba-tiba mangsa didatangi oleh seorang suspek lelaki bermotosikal nombor pendaftaran tidak pasti meragut seutas rantai emas yang dipakai di leher dari belakang dan melarikan diri,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ekoran kejadian itu, mangsa cedera di belakang leher kerana rantai ditarik kuat danĀ  patah tangan kanan akibat terjatuh di atas jalan semasa kejadian itu.

Kes sedang disiasat bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana rompakan hingga menyebabkan kecederaan.

Polis sedang memburu suspek yang terlibat dalam jenayah itu.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi IPD Ampang atau mana-mana balai polis yang berhampiran. – MalaysiaGazette