KUANTAN – Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan di Istana Abdul Aziz, di sini, petang tadi.
Pada istiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelangai, Datuk Amizar Abu Adam mengangkat sumpah sebagai Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (AMMK) yang ke-11.
Turut hadir, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Yaacob dan barisan Exco Kerajaan Pahang yang lain.
Dalam titah baginda, semua Exco kerajaan negeri perlu menjalankan tugas dengan baik dan ikhlas untuk memajukan Pahang, membantu rakyat miskin dan menegakkan syiar Islam.
“Semua pemimpin mesti rajin turun padang, rajin membantu, rajin membaca dan rajin bekerja.
“Seperti yang saya katakan tadi, saya seorang Sultan yang ‘result oriented, people centric and people come first’. Bila bantuan untuk rakyat, mesti tunaikan,”titah baginda.
Dalam pada itu, Wan Rosdy memberitahu, terdapat pertukaran portfolio bagi sebahagian Ahli Mesyuarat Majlis Kerajaan yang akan diumumkan esok.
“Tujuannya adalah untuk memperkemas dan memantapkan lagi pentabiran Kerajaan Negeri agar ianya lebih berkesan dan esok saya akan umumkan,” katanya.
Terdahulu, terdapat kekosongan portfolio disandang bekas ADUN Pelangai, Allahyarham Datuk Seri Johari Harun berikutan kematiannya dalam nahas pesawat di Bandar Elmina, Shah Alam, Selangor pada Ogos tahun lalu. – MalaysiaGazette