KLANG – Trak polis yang membawa jasad dua mangsa nahas pesawat ringan tiba di Jabatan Forensik Hospital Tengku Ampuan Rahimah, di sini, pada jam 8.45 malam.
Kedua-dua mangsa akan dibedah siasat sebelum proses pengecaman dan kemudian diserahkan kepada ahli keluarga.
Terdahulu, dua penumpang termasuk juruterbang berada dalam pesawat ringan model BK 160 Gabriel (nombor pendaftaran I-POOC) l terhempas di kawasan kebun kelapa sawit berhampiran Sekolah Kebangsaan Tok Muda, Kapar, Kampung Tok Muda, hari ini.
Pesawat tersebut dilaporkan berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah, Subang, pada pukul 1.28 petang bagi penerbangan rekreasi.
Ketua Polis Negeri Selangor, Datuk Hussein Omar Khan ketika sidang media di lokasi kejadian mengesahkan mangsa yang maut berusia antara 30 hingga 40 tahun dan sedang menjalani latihan penerbangan rekreasi.
Katanya, kedua-dua mangsa berada dalam kokpit pesawat yang terbenam kira-kira dua meter. – MalaysiaGazette