JOHOR BAHRU – Johor menyasar meraih antara 60 hingga 70 pingat emas pada Sukan Malaysia (Sukma) yang akan berlangsung di Sarawak Ogos ini.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, iaperlu dicapai untuk memastikan Johor mempertahankan kejuaraan yang dilakar pada 2022 di Kuala Lumpur.

“Pada awalnya kita (kerajaan negeri) meletakkan sasaran pingat adalah 40 hingga 50 pingat emas, namun apabila saya fikir dan melihat semangat yang ditonjolkan atlet kita.

“Saya yakin kita dapat meraih di antara 60 hingga 70 pingat emas. Atlet diharap terus bersemangat dan pastikan ia menjadi kejayaan,” katanya ketika berucap pada Majlis Countdown Sukma Johor ‘SUKMA 2024’ The Next Chapter, di sini, hari ini.

Turut hadir Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Dalam pada itu, Onn Hafiz mengumumkan insentif sebanyak RM10,000 atlet yang meraih pingat emas acara perseorangan manakala RM20,000 diperuntukan kepada acara berpasukan.

“Manakala, jurulatih pula yang berjaya membantu atlet memperoleh pingat emas itu akan diberikan sebanyak RM5,000,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hairi berkata, insentif bagi pingat perak dan gangsa pula akan dimaklumkan kemudian oleh Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ).

“Insentif pingat emas diumum dahulu, kerana ia sedikit sebanyak dapat menyuntik semangat atlet kita dan mahu mereka fokus dalam membantu mencapai kemenangan buat Johor,” katanya.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast