Pihak polis meminta penunggang dan pembonceng motosikal tampil bagi membantu siasatan kemalangan di Kilometer 123.2 Lebuh Raya Utara-Selatan, petang semalam.

BATU PAHAT – Tindakan pemandu sebuah kereta mengubah haluan ke lorong kecemasan secara tiba-tiba menyebabkan dua mangsa yang menunggang motosikal terpelanting dalam kejadian di Kilometer 123.2 Lebuh Raya Utara-Selatan, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 1.45 petang itu melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta menggunakan nombor pendaftaran Singapura.

“Kejadian berlaku semasa kereta berkenaan mengubah laluan secara tiba-tiba dari lorong sebelah kiri ke lorong kecemasan mengakibatkan sebuah motosikal dari arah belakang gagal mengelak lalu melanggar bahagian kiri kereta terbabit.

““Laporan polis telah dilakukan oleh pemandu kereta berkenaan iaitu seorang lelaki berusia 52 tahun, namun belum ada laporan diterima daripada penunggang motosikal,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Menurut Ismail, penunggang motosikal berkenaan yang masih tidak dikenali identitinya diminta tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan dilakukan.

Kejadian perlanggaran tersebut  ditularkan dalam media sosial Facebook melalui video berdurasi dua saat kira-kira pukul 5.49 petang semalam.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen  43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kerajaan perlu gubal undang2 dan hukuman ebih ketat terhadap kenderaan asing yg masuk dan kemalangan dlm Malaysia, sama mcm Thailand buat. Mereka ini biadap bila masuk Malaysia.

Comments are closed.