KLANG – Juruterbang dan penumpang pesawat ringan yang terhempas di kebun kelapa sawit di Kampung Tok Muda, Kapar, dekat sini, maut dalam kejadian itu.
Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan berkata, pasukan penyelamat yang berada di lokasi kemalangan berusaha mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa yang tersepit dalam kokpit pesawat tersebut.
Tambah beliau, pihaknya menghadapi cabaran untuk mengeluarkan mayat yang ditemui jam 2 petang itu disebabkan keadaan pesawat yang terbenam ke dalam tanah gambut.
“Pesawat ringan ini seberat 1,300 kilogram terjunam dan 45 peratus badannya terbenam pada kedalaman lebih dua meter dalam tanah kebun sawit itu.
“Buat masa ini, kita telah menutup lokasi nahas pada radius 50 meter dan semua pasukan pelbagai agensi terdiri daripada pasukan polis, Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam sedang berusaha untuk mengeluarkan mayat kedua-dua mangsa tersebut yang kita percaya sudah terkorban.
“Kita telah membawa jengkaut milik Majlis Bandaraya Diraja Klang untuk proses mengorek tanah tersebut, tetapi ia bukan mudah dan kita tidak boleh mengorek tanah itu sebarangan, perlu berhati-hati untuk membolehkan mayat dikeluarkan.
“Kita meneruskan usaha mengeluarkan mangsa dan jangkakan mayat mangsa akan dikeluarkan dalam masa tiga jam lagi malam ini juga,” katanya di lokasi kejadian.
Menurut Hussein, lebih 150 anggota daripada pelbagai agensi keselamatan terlibat dalam misi pencarian dan mengeluarkan mayat mangsa.
Sementara itu, Huissein memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada jam 1.45 tengah hari.
Katanya, siasatan awal mendapati pesawat itu berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah pada jam 1.28 tengah hari dan komunikasi terakhir diterima Menara Kawalan Trafik Udara pada jam 1.35 tengah hari.
Namun tiada sebarang panggilan kecemasan diterima dari pesawat itu, ujarnya.
Hussein berkata, pesawat tersebut Air Adventure Flying Club dan semasa kejadian mangsa terlibat dalam penerbangan rekreasi.
“Kedua-dua mangsa berusia 30-an dan awal 40-an berasal dari Johor dan Pulau Pinang tetapi kami percaya mungkin mereka menetap di Selangor.
“Polis membuka kertas inkuiri untuk menyiasat insiden nahas itu manakala Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) juga mengesahkan Bahagian Siasatan Kemalangan Udara Kementerian Pengangkutan akan menjalankan siasatan mengenalpasti punca nahas itu,” katanya.
Menurut Hussein, mayat mangsa akan dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah untuk bedah siasat bagi mengenalpasti punca kematian sementara proses pengecaman diserahkan kepada waris dan keluarga mangsa. – MalaysiaGazette